ZAHIDI (empat dari kiri) melancarkan ICoSD 2017.
MEOR Mohd Zamnis (kiri) menyerahkan replika cek kepada Zahidi (tiga dari kiri).
KAKITANGAN RISDA melawat gerai pameran.
Mohamad Hussin


Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui 15 syarikat milikannya mengumumkan dividen berjumlah RM6.4 juta sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memantapkan pembangunan pekebun kecil.

Manakala sebanyak RM1.1 juta disalurkan kepada Tabung Kebajikan Pengurusan RISDA (TKPR) bagi tujuan kebajikan warga RISDA.

Dividen yang diumumkan itu antara kejayaan syarikat milikan RISDA yang memperoleh keuntungan sebelum cukai berjumlah RM38.9 juta bagi tahun kewangan 2016.

Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Bahagian Pelaburan dan Pembangunan Syarikat (BPPS) RISDA mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam memastikan urusan pentadbiran korporat dan pelaburan 15 syarikat milikannya mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Apa yang paling utama memberi impak yang berkesan kepada pekebun kecil melalui sektor hartanah, perkilangan, perkhidmatan, pendidikan dan sebagainya.

“Semua syarikat RISDA meneroka potensi produk berasaskan getah bagi mewujudkan sumber pendapatan kedua untuk pekebun kecil.

“Senario industri getah dan sawit yang tidak menentu mendorong RISDA mencipta pembaharuan dan pekebun kecil tidak boleh bergantung kepada satu sumber saja,” katanya selepas merasmikan perhimpunan bulanan RISDA di Ibu Pejabat Risda, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Kolej RISDA Sdn Bhd Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn Bhd Meor Mohd Zamnis Meor Hassan.

Zahidi berkata, lebih banyak industri berasaskan getah perlu dibangunkan sebagai langkah jangka masa panjang untuk menstabilkan harga getah di pasaran.

“Produk yang berasaskan getah seperti jalan raya, jalan ladang, alat ganti kenderaan serta pelbagai lagi barangan boleh diketengahkan demi kelangsungan kehidupan pekebun kecil.

“Pekebun kecil adalah aset RISDA, tanpa pekebun kecil maka tiada RISDA. Asal penubuhan RISDA ini hanya untuk membangunkan masyarakat pekebun kecil dengan lebih sejahtera sesuai dengan peredaran semasa.

“Kita perlu membuktikan kepada kerajaan dan masyarakat bahawa kita berjaya memajukan masyarakat pekebun kecil. Justeru, dalam keadaan harga komoditi yang tidak menentu ini adalah wajar semua syarikat cuba menghasilkan produk atau infrastruktur yang memberikan impak kepada pekebun kecil,” katanya.

Menurutnya, RISDA mesti meneroka produk berasaskan getah ini bagi memberi nafas baru kepada pekebun kecil jika mahu RISDA terus berdiri bersama pekebun kecil.

“Saya berharap RISDA Holdings dan semua syarikat boleh mengemukakan pandangan, dasar dan pelan baru ini dalam menangani isu ini.

“RISDA turut melaksanakan perjanjian persefahaman bersama Kolej RISDA bagi tujuan pindah urus Institut Kemajuan Pekebun Kecil di Negeri Pahang.

“Institut Kemajuan Pekebun Kecil sebelum ini yang diurus oleh RISDA bakal dipertanggungjawabkan kepada Kolej RISDA untuk mentadbir dan mengurus institut berkenaan bagi menjalankan program akademik dan kemahiran di peringkat sijil dan diploma,” katanya.

Pada majlis sama, Kolej RISDA melancarkan persidangan International Conference on Sustainable Development (ICoSD 2017) yang bakal berlangsung di Hotel Everly, Putrajaya, pada 7 September ini.

ICoSD 2017 antara persidangan ilmiah peringkat kebangsaan bagi berkongsi pandangan berkenaan isu global bersama ahli akademik, penyelidik dan pakar industri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 2:17 PM