NELAYAN melihat replika bubu. FOTO Aswadi Alias.
Mohamad Hussin


Lebih 30,000 nelayan seluruh negara termasuk keluarga masing-masing berhimpun di Kuala Kerteh, Kemaman, Terengganu, sempena Program Gelombang Nelayan Nasional 2017 (GNN 2017) bagi menghargai golongan berkenaan yang sering bertarung nyawa di lautan.

Mereka layak digelar wira negara kerana mempertaruhkan nyawa semata-mata mahu memenuhi tuntutan rakyat Malaysia mendapatkan bekalan ikan segar.

GNN adalah satu manifestasi atau cerminan untuk menghargai nelayan dan cara mereka menunjukkan pengorbanan serta dedikasi untuk memenuhi (bekalan) sumber protein serta kenikmatan kepada kehidupan rakyat selama ini.

GNN 2017 dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui jabatan dan agensinya bertujuan menghargai jasa nelayan dalam sektor perikanan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, GNN adalah lambang sokongan nelayan terhadap kerajaan.


AHMAD Zahid (kanan) dan Ahmad Shabery menyaksikan perarakan lebih 700 bot nelayan. FOTO Aswadi Alias.

“Ia juga menunjukkan kesungguhan MOA khususnya Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam menjaga kebajikan nelayan.

“Nelayan adalah wira yang tidak didendang memberi pendapatan kepada negara, memajukan negara dan memberi makanan protein kepada rakyat.

“Nelayan adalah penyokong kita dan perlu diambil kepedulian yang lebih kepada mereka. GNN adalah kombinasi antara nelayan dan kerajaan.


SEBAHAGIAN nelayan yang hadir ke GNN 2017. FOTO Aswadi Alias.

“Kita tahu apa yang dilakukan kerajaan bukan sekadar memberi elaun bulanan tetapi kerajaan mengambil perhatian kepada sektor perikanan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan GNN 2017 di Kuala Kerteh, Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman.

Pada program itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi program GNN yang akan dijadikan sebagai acara tahunan.


NELAYAN melihat replika bubu. FOTO Aswadi Alias.

“Penganjuran GNN adalah simbolik sokongan kerajaan terhadap nelayan yang sentiasa bertungkus-lumus mencari hasil protein untuk dinikmati rakyat.

“Peruntukan tambahan ini di luar daripada peruntukan sedia ada supaya GNN dapat diadakan setiap tahun malah tempat ini (Kuala Kerteh) boleh dijadikan lokasi ikonik atau mungkin diadakan di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, GNN 2017 menyelami kehidupan masyarakat nelayan dengan lebih mendalam, budaya, permainan dan cara hiburan mereka.


NELAYAN bermain dart. FOTO Aswadi Alias.

“Ia usaha kita menyanjung mereka. Menyanjung cara mereka mencari makan untuk keluarga dan diri mereka. Mereka berikan kita nikmat ikan, udang, sotong dan ketam.

“Program ini adalah satu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia berlaku pada kali ini. Lebih daripada 70 aktiviti diadakan sepanjang tiga hari GNN 2017 bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk meraikan nelayan serta menghargai sumbangan mereka,” katanya.


SKUAD nelayan antidadah. FOTO Aswadi Alias.

Menurutnya, 700 bot nelayan dari Pahang dan Terengganu berkumpul sejak Khamis lalu bagi memeriahkan program berkenaan dengan berarak ke jeti Kuala Kerteh.

Seorang nelayan, Rahman Bakar, 52, berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan khususnya MOA kerana mengadakan sambutan GNN bagi menghargai jasa dan pengorbanan nelayan di seluruh negara.


KANAK-KANAK teruja melihat rangka ikan. FOTO Aswadi Alias.

“Sambutan yang diadakan ini sekurang-kurangnya dapat mengubat hati kami. Bayangkan kami terpaksa menempuh onak dan duri sepanjang berada di lautan untuk menangkap hasil,” katanya yang sudah lebih 30 tahun bergelar nelayan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 11:40 AM