GOLONGAN nelayan antara sumber kekayaan negara.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri bagi sektor pertanian dianggap satu peruntukan paling besar kepada pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah.

Dengan peruntukan sebanyak RM6.5 bilion, ‘Ibu Segala Bajet’ itu memberi tumpuan untuk mewujudkan sumber kekayaan baru negara dalam sektor agromakanan dan mengukuhkan lagi sektor ini sebagai penyumbang kepada ekonomi negara sekali gus meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata, Bajet 2018 memberikan satu sinar baru kepada kumpulan sasar Jabatan Perikanan (DOF) iaitu penternak ikan dan nelayan dalam menjana ekonomi baru mereka.

Beliau berkata, bajet dengan tema Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Rakyat Menuju TN50 adalah tepat kerana dirasai semua lapisan terutama penternak ikan dan nelayan.


PEKEBUN kecil getah turut menerima tempias BAJET 2018.

“Daripada RM6.5 bilion yang diumumkan, sebanyak RM133 juta diperuntukkan kepada DOF khusus untuk menjana peluang kekayaan baru melalui perikanan.

“Kerajaan memperuntukkan RM55 juta bagi pembangunan industri akuakultur terutama melalui inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang menyasarkan pengeluaran sebanyak 888,200 tan metrik membabitkan hampir 22,000 pengusaha.

“Ia sekali gus dapat menjana peluang pekerjaan sebanyak 18,000 kekosongan pelbagai lapisan yang memberi sumbangan signifikan kepada industri perikanan.

“Bagi industri laut dalam dan tuna, sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan dengan sasaran pengeluaran 523,000 tan metrik dan melahirkan 2,000 tenaga mahir tempatan,” katanya.

Munir berkata, bagi pengawalan sumber perikanan untuk memastikan kelestarian sumber ikan untuk generasi akan datang, sebanyak RM2 juta diperuntukkan dalam bajet kali ini.

“Kerajaan juga prihatin terhadap keluh kesah nelayan termasuk nelayan darat, elaun sara hidup nelayan darat berjumlah RM200 setiap bulan diberikan kepada hampir 5,200 nelayan diteruskan dengan bajet sebanyak RM12 juta.

“Bagi menampung beban kenaikan kos pengeluaran dan meningkatkan pendapatan pengusaha perikanan, bantuan ‘touch point’ dalam bentuk input dan peralatan diberikan kepada 7,000 pengusaha diteruskan dengan nilai kira-kira RM14 juta.


GOLONGAN pesawah menerima bantuan RM200.

“Penyelidikan dan inovasi antara komponen penting kepada sesuatu sektor dalam menghasilkan penemuan baru di samping kajian seperti pentaksiran sumber perikanan untuk pengurusan sumber perikanan di Malaysia membabitkan peruntukan RM27.95 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Ahmad Rudin Hussain berkata, NEKMAT dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berperanan sebagai agensi kerajaan untuk menjayakan hasrat melalui pembekal utama ikan segar.

“Ia termasuk Q-Fish bagi memastikan pengguna boleh mendapatkan ikan segar dan beku seperti kembung, selar, pelaling, selayang,cencaru, tilapia, keli dan aya (tongkol) dengan harga yang berpatutan, berkualiti dan berkhasiat sama seperti ikan segar.

“Q-Fish adalah penjenamaan semula bagi Program Ikan Rakyat LKIM yang diperkenalkan pada 2014 untuk membantu menstabilkan harga ikan dan sebagai pilihan dalam mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna.

“NEKMAT akan bekerjasama dengan LKIM bagi menjalankan program jualan ikan di kawasan strategik supaya rakyat dapat menikmati sumber makanan laut berkenaan pada harga berpatutan,” katanya.


PENGERUSI LKIM Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (kanan) dan Ahmad Rudin menunjukkan ikan Q-Fish.

Menurutnya, pada masa sama, NEKMAT memohon 20 lesen vessel laut dalam bagi merealisasikan harapan kerajaan dalam pengurangan harga barangan asas seperti ikan, dengan adanya fleet vessel, ikan NEKMAT mampu dibekalkan dalam keadaan segar dan ditawarkan pada harga jauh lebih murah.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, bantuan bulanan sebanyak RM200 kepada pesawah padi ketika menunggu hasil tuaian disifatkan sebagai antara langkah terbaik bagi membantu mengurangkan kos sara hidup golongan itu.

Beliau berkata, ia kerana kebanyakan pesawah padi tiada pendapatan sampingan dalam tempoh tiga bulan menunggu hasil tuaian tanaman berkenaan.


JAGUNG bijian antara sumber kekayaan baru negara dalam pembangunan industri makanan ternakan di negara ini.

“Bantuan itu adalah strategi tepat dilaksanakan kerajaan selain menunjukkan kepekaan kepada masalah dihadapi petani dan peladang.

“Menerusi bantuan itu, diharap kumpulan petani akan lebih bermotivasi untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan negara.

“NAFAS juga menyambut baik peruntukan RM200 juta bagi inisiatif sumber kekayaan baru dan seiring dalam merealisasikan saranan kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan jagung bijirin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 11:35 AM