DR Leong (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada rakan kerjasama dalam menjalankan seminar.
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my

Pendekatan Pematuhan Kendiri Terpimpin (GSR) yang dijalankan ke atas tiga aktiviti ekonomi iaitu kilang getah, kilang kelapa sawit dan kilang pembuangan terjadual di negeri ini bakal mengatasi isu pencemaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, setakat ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) menumpukan kepada 39 aktiviti ekonomi meliputi 24 kilang pembuangan terjadual, sembilan kilang getah dan enam kilang kelapa sawit dalam membimbing bagi melaksanakan penguatkuasaan di peringkat premis masing-masing.

“Sebelum ini, kita dapati kilang ini ada yang tidak mematuhi syarat, jadi pelaksanaan GSR diharapkan dapat menjadikan mereka lebih bertanggungjawab tanpa menunggu JAS datang melakukan penguatkuasaan.

“Buat masa ini kita tumpukan kepada kilang yang dilesenkan iaitu kilang getah, kilang kelapa sawit dan premis pembuangan terjadual sebelum diperluaskan kepada aktiviti ekonomi yang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah JAS Kedah Ramli Abdul Rahman.

Dr Leong berkata, kilang yang dikenal pasti akan dipantau dan dilatih untuk lebih bertanggungjawab, dalam masa yang sama dapat menjalankan penguatkuasaan sendiri berdasarkan elemen GSR yang digariskan.

“Kita tak mahu pihak industri hanya mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab menjaga alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seminar yang disertai lebih 300 peserta membabitkan pelbagai sektor ekonomi itu adalah sebahagian daripada Sambutan Hari Alam Sekitar yang disambut serentak di seluruh negara pada 21 Oktober lalu.

Katanya, seminar itu bertujuan melengkapkan pemain industri mengenai akta berkenaan supaya mereka menyedari tanggungjawab mereka dalam merealisasikan matlamat melestarikan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 1:22 PM