ASMAWI turut melaksanakan projek tanaman kontan iaitu timun di kawasan seluas 1.4 hektar di kawasan ladang berkenaan.
RUMPUT napier sebagai makanan alternatif di Ladang Ternak Haji Kassim, Kampung Pandan dan di FELDA Panching Timur sebagai makanan alternatif untuk ternakannya.
PASARAN produk tenusu seperti susu kambing yang dipromosi menerusi laman sosial Facebook dan jualan secara langsung di sekitar Kuantan.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


Dari jurutera syarikat cari gali minyak, individu ini bertukar kerjaya sebagai penternak berjaya.

Biarpun kerjaya antara kedua-duanya terlalu jauh berbeza, ia bukan halangan bagi pemilik Ladang Ternak Haji Kassim, Datuk Asmawi Kassim, 45, untuk berbuat demikian.

Baginya, bukan satu perkara merugikan apabila terpaksa melepaskan jawatan terakhir sebagai konsultan di syarikat petroleum itu kerana beliau sudah membuat perancangan masa depan.

“Jika dalam bidang cari gali minyak saya tidak boleh ‘menyerahkan’ tugas kepada anak tetapi dalam bidang penternakan saya boleh berbuat demikian dan berharap mereka mampu mewarisi apa yang saya lakukan sekarang demi masa depan mereka.

“Selepas 17 tahun berkhidmat dalam beberapa syarikat gergasi dengan pelbagai tugas berbeza antaranya sebagai jurutera gerudi dan konsultan petroleum, saya mengambil keputusan berhenti pada 2012.

“Berbekalkan modal permulaan mencecah RM200,000 saya membeli sebidang tanah seluas kira-kira empat hektar dan mulakan projek ternakan kambing dan lembu secara komersial,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Pandan, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Biar pun tidak memiliki latar belakang dalam bidang penternakan, ia tidak menjadi penghalang bagi Asmawi untuk meneruskan hasratnya malah berkeyakinan membangunkan kawasan berkenaan secara berperingkat.

“Saya dikira beruntung juga kerana mempunyai ramai kenalan yang terbabit dalam penternakan ruminan, dari mereka saya mempelajari selok-belok dalam bidang ini,” katanya berasal dari Kampung Nadak, Sungai Lembing, Kuantan itu.

Asmawi berkata, bidang penternakan memang menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan secara sistematik dan bersungguh-sungguh.

Hingga kini, ladang berkenaan menempatkan tiga kandang kambing dan dua kandang lembu, rumah pekerja, dewan serba guna, surau, asrama pekerja, rumah sembelihan serta dua hektar khusus untuk penanaman rumput napier.

Selain itu, Asmawi juga memiliki ladang seluas 7.2 hektar di FELDA Panching Timur, Kuantan, yang sebahagian besarnya dikhususkan untuk tanaman rumput napier selain dua kandang kambing (sanen saja) dan satu kandang lembu.

Katanya, 120 lembu susu bakal dibawa masuk menerusi projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) November ini.

“Ladang ternak ini akan menjadi salah satu pembekal susu segar kepada kilang pengeluar susu segar di Muadzam Shah,” katanya.

Asmawi yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan petroleum dari University of Oklahoma, Amerika Syarikat berkata, ketika ini ladangnya menempatkan hampir 200 kambing dan biri-biri baka sanen (untuk susu), boer, merina, kibas, damara dan dorper.

Bagaimanapun, ketika ini beliau hanya membawa masuk ternakan dalam skala lebih kecil antara 50 hingga 70 ekor pada satu-satu masa berbanding beratus ternakan ketika musim Aidiladha.

“Kebiasaannya permintaan meningkat mendadak beberapa hari sebelum Aidiladha dan untuk tahun ini sejumlah 200 kambing dan biri-biri ditempah bagi ibadah korban.

“Di ladang kami, setiap ternakan ditanda selepas dilahirkan sebelum direkodkan. Ini pasti memudahkan kami menentukan umur ternakan terbabit untuk tujuan korban atau akikah,” katanya.

Asmawi berkata, harga kambing dan biri-biri adalah sama iaitu antara RM750 hingga RM1,500 seekor bergantung kepada umur dan saiz.

Menurutnya, kaedah penjagaan dan pemakanan digunakan agak berbeza dengan penternak lain kerana dia lebih mementingkan kelangsungan hidup semula jadi haiwan berkenaan.

“Saya tidak melepas bebas ternakan untuk meragut rumput sebaliknya saya sediakan makanan sama ada rumput atau palet di kandang kecuali sesekali saja untuk mereka rasa ‘bebas’.

“Malah saya juga tidak menetapkan waktu makan ternakan dua atau tiga kali sehari sebaliknya membiarkan makanan itu sentiasa ada di kandang dan boleh dimakan pada bila-bila masa saja,” katanya.

Asmawi berkata, hingga kini ternakannya tidak berdepan sebarang penyakit bahaya tapi akan segera memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri jika ada yang menunjukkan tanda sakit.

“Setakat ini, tidak ada masalah besar dihadapi dan mereka juga mengunjungi ladang bagi memeriksa ternakan secara berkala,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Ditanya berkenaan modal untuk memulakan projek ladang ternak itu, Asmawi berkata, semuanya menggunakan simpanan sendiri dan menasihatkan mereka yang berminat menceburinya memulakan dengan modal yang paling minimum.

Asmawi juga memberikan tumpuan terhadap pasaran produk tenusu seperti susu kambing yang dipromosikan menerusi laman sosial Facebook dan jualan secara langsung di sekitar Kuantan.

Selain berfungsi sebagai kawasan ternakan, Ladang Ternak Haji Kassim turut memperkenalkan konsep pelancongan pertanian yang mana beberapa gazebo dibina untuk pengunjung berehat sementara urusan diselesaikan.

Beliau turut menjalankan projek tanaman kontan iaitu timun di kawasan seluas 1.4 hektar dan baru saja memasarkannya pada September lalu dengan sambutan menggalakkan peniaga dan orang perseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 2:40 PM