NILAI eksport nanas negara dijangka  meningkat kepada RM380 juta setahun menjelang 2020.
NILAI eksport nanas negara dijangka meningkat kepada RM380 juta setahun menjelang 2020.
Mohamad Hussin

Selain mempromosi durian Musang King ke China, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) turut mempromosi produk pertanian lain antaranya nanas, nangka dan sarang burung walet (SBW).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pintu pasaran China berjaya dibuka untuk produk nanas Malaysia apabila beliau menandatangani satu Protokol Keperluan Fitosanitasi di Beijing, Mei lalu.

“Menerusi kelulusan bersyarat ini, penghantaran pertama nanas ke China dibuat pada 12 Oktober lalu. Dalam tempoh dua minggu itu 114 tan dieksport membabitkan nilai RM342,000.

“Nilai eksport nanas negara dijangka bakal meningkat kepada RM380 juta setahun menjelang 2020, berikutan penembusan pasaran China diiringi keupayaan industri untuk menambah kapasiti penanaman dan pemprosesan,” katanya sempena Festival Durian Malaysia 2017 (FDM 2017) di Hang Yang City South Square Nanning, Guangxi, China, baru-baru ini

Sementara bagi pasaran SBW pula hanya bahan mentah bersih (RC) dari loji pemprosesan yang memenuhi syarat yang ditetapkan dibenarkan eksport ke China.

“Pada tahun lalu, jumlah eksport SBW Malaysia ke China adalah 20 tan metrik bernilai RM134 juta. SBW kita dilihat lebih berdaya saing berbanding negara lain kerana adanya pematuhan sistem kualiti yang diamalkan di sepanjang rantaian industri bermula di peringkat ladang hingga ke rantaian pemprosesan dan eksport.

“Sejak 2012 hingga tahun lalu, Malaysia sudah mengeksport produk SBW ke 22 negara dengan purata kadar pertumbuhan eksport 28 peratus setahun.

“Menerusi kadar pertumbuhan ini, negara diunjurkan berpotensi mengeluarkan 1,000 metrik tan SBW menjelang 2020 dengan anggaran nilai eksport melebihi RM4.5 bilion.

“Daripada jumlah itu, RM1.7 bilion adalah SBW mentah belum bersih (RUC), RM2.3 bilion mentah bersih (RC) dan RM6 bilion produk proses atau tambah nilai,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, selepas berjaya memperoleh laluan pasaran nanas ke China, usaha terus dipergiat bagi mendapatkan laluan pasaran bagi satu lagi buah popular Malaysia untuk dipasarkan ke negara itu iaitu nangka.

“Nangka berpotensi dipasarkan ke China kerana tekstur isinya yang kenyal dan manis, mempunyai rasa yang mudah diterima serta digemari orang ramai selain mengandungi zat makanan berkhasiat seperti protein, karbohidrat, kalsium dan zat besi.

“Terdapat beberapa varieti nangka yang berpotensi dieksport seperti J33 (Tekam Yellow), J32 (Mantin) dan J37 (Mastura).

Malaysia mengeksport nangka ke beberapa negara seperti Singapura, Hong Kong, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jerman.

“Nilai eksport nangka pada tahun lalu adalah sebanyak RM17.5 juta. Harapan kita dengan promosi yang dibuat dan permintaan tinggi dari rakyat China, rundingan pasaran akan dapat diperoleh dan pengekportan nangka segar dapat dibuat ke negara itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 12:39 PM