SUHAIME menunjukkan cara penggunaan kitosan yang mudah terhadap semua jenis tanaman termasuk sayuran.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Pelbagai teknologi bagi meningkatkan hasil tanaman pertanian berada di pasaran ketika ini membabitkan produk keluaran tempatan dan luar negara.

Teknologi agro tidak hanya tertumpu pada mesin atau peralatan moden industri pertanian semata-mata, tapi juga bahan tambahan seperti baja, racun dan juga pemangkin tumbesaran tanaman atau dipanggil ‘madu’ untuk tumbuhan.

Antara pemangkin tumbesaran tanaman hasil keluaran tempatan yang kini mula mendapat perhatian petani dan juga pengusaha tanaman adalah kitosan.

Kitosan adalah polimer organik yang bersifat mudah terurai diekstrak daripada cangkerang atau kulit makanan laut seperti udang dan ketam dihasilkan menggunakan aplikasi bioteknologi moden bertaraf antarabangsa.

Kandungan asid amino yang terdapat pada kitosan dapat merangsang hormon pertumbuhan dalam setiap tanaman itu sendiri melalui penyerapan nutrien dari tanah.

Ia sekali gus meningkatkan aktiviti sel tanaman dan proses fotosintesis serta meningkatkan sistem daya tahan tanaman berkenaan.

Pengedar kitosan di Perak, Suhaime Sulaiman berkata, antara faedah produk berkenaan adalah bertindak sebagai antibakteria semula jadi, mempercepatkan percambahan, meningkatkan hasil dan kualiti pertanian selain mesra alam serta haiwan.

“Kitosan bukan baja atau racun untuk tumbuhan tapi ia juga pemangkin tanaman diibaratkan seperti madu untuk tumbuhan kerana mampu mempercepatkan pertumbuhan, mempercepatkan pembungaan dan pembuahan seterusnya mempercepatkan masa tuaian.

“Ia juga mampu mencegah tanaman daripada serangan pelbagai penyakit dan musuh tanaman seperti penyakit daun, bakteria, hawar, benah hijau, hawar daun jingga dan bercak,” katanya yang ditemui di Program Klinik Pertanian Daerah Batang Padang di Arena Merdeka, Tapah, Perak, baru-baru ini.

Suhaime berkata, penggunaan pemangkin tumbesaran tanaman itu juga mampu meningkatkan hasil 20 hingga 50 peratus dan senang digunakan dengan hanya perlu disembur pada tanaman sekerap dua minggu sekali dalam nisbah penggunaan yang rendah.

“Kitosan boleh digunakan bersama baja dan kimia pertanian (racun) tanpa kesan sampingan, namun tidak boleh digunakan bersama bahan efektif mikro kerana ia akan membunuh bahan itu.

“Penggunaan produk ini juga tidak terhad kepada tanaman tertentu sahaja kerana ia sesuai untuk semua tanaman termasuk sayuran dan boleh digunakan untuk tanaman kecil-kecilan atau perladangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 1:04 PM