SEJARAH kajian turut sebagai rujukan pengunjung.
IRRI ditubuhkan sempena Revolusi Hijau untuk meningkatkan pengeluaran padi di Asia.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


IRRI yang terletak di Los Banos, diasaskan Yayasan Ford dan Rockfeller dengan sokongan kerajaan Filipina pada 1960 didedikasikan untuk mengurangkan kemiskinan dan kelaparan menerusi sains padi, meningkatkan kesihatan dan kebajikan petani serta pengguna termasuk melindungi persekitaran penanaman padi demi generasi akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah Komunikasi dan Perkongsian IRRI, V Bruce Tolentino berkata, pihaknya sebagai institusi penyelidikan global bekerja rapat dengan rakan kongsi dari seluruh dunia dalam mengkaji germplasma padi untuk ciri baru dan menambah baik produktiviti sistem pertanian.

“Usaha IRRI membolehkan inovasi yang akan memperkasakan kerajaan dan pemain sektor swasta untuk menangani cabaran berkaitan dalam meneruskan pertumbuhan populasi penduduk dunia, masalah malnutrisi, kemiskinan, perubahan iklim dan sumber semula jadi yang kian merosot.

“Saintis dan penyelidik IRRI sudah membangunkan pendekatan baru dan produk yang sesuai dengan amalan petani, persekitaran pengeluaran serta berdaya tahan terhadap perubahan iklim,” katanya kepada delegasi media dan wakil sektor pertanian dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina yang membuat lawatan ke IRRI itu sempena seminar ‘Plant Science Primer’ anjuran CropLife Asia di Manila, baru-baru ini.

Katanya, usaha membiak baka padi dilakukan IRRI meliputi pelbagai disiplin bioteknologi konvensional dan moden bagi meningkatkan padi supaya mencapai kualiti bijirin yang lebih baik.

“Beras adalah makanan ruji separuh penduduk dunia iaitu lebih 3.5 bilion orang dan menjadi sumber makanan utama yang membekalkan nutrien penting kepada penduduk miskin. Malah, sejarah juga membuktikan bahawa padi adalah makanan terpenting untuk manusia sejak 10,000 tahun lalu.

“Pada 2013, saintis Institut Penyelidikan Padi Bangladesh (BRRI) berjaya menghasilkan varieti padi yang kaya dengan zink pertama di dunia,” katanya.

Antara rakan kongsi IRRI adalah CropLife Asia yang memberi tumpuan terhadap cara memastikan produk perlindungan tanaman seperti racun perosak digunakan secara bertanggungjawab termasuk dikendalikan dengan cara yang paling selamat dan berkesan untuk membantu petani meningkatkan produktiviti pertanian serta menyumbang kepada jaminan bekalan makanan.

Pengarah Eksekutif CropLife Asia, Dr Siang Hee Tan berkata, bioteknologi bukan saja membantu petani mengurangkan kos pengeluaran, malah tanaman lebih mudah diuruskan di samping membekalkan pengguna dengan makanan yang kaya nutrisi.

Bioteknologi juga membantu menjadikan pengurusan kawalan makhluk perosak dan rumpai lebih selamat serta mudah, namun pada masa sama melindungi tanaman menentang penyakit. Aplikasi bioteknologi dalam pertanian memberi manfaat kepada petani, pengeluar dan pengguna.

“Cabaran menghasilkan lebih banyak makanan dengan sumber semula jadi yang sangat sedikit dan kurang impak terhadap alam sekitar memerlukan kaedah penyelesaian yang mengubah permainan dan kelestarian teknologi sains inovasi tanaman begitu saja.

“Pada masa sama kita harus bersama-sama menjalankan tanggungjawab menyokong petani di rantau ini untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada teknologi dan peralatan yang diperlukan. Oleh itu, kami akan kekal bekerja bersama IRRI dalam meneruskan usaha penting ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 1:13 PM