MOHAMAD Roff (tiga dari kiri) memberi makan kepada ternakan kambing
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memberi fokus kepada bidang penyelidikan yang mempunyai impak tinggi bagi menjana teknologi pertanian untuk kesejahteraan masyarakat.

Ia selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 iaitu memastikan bekalan makanan negara terjamin dan membantu perkembangan pertanian.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata, visi baru MARDI iaitu Gedung Inovasi Agromakanan bagi memastikan sektor pertanian berdaya maju, mampan, berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berkata, mandat yang diberikan kepada MARDI adalah untuk membangunkan dan memindahkan teknologi bagi kemajuan sektor agromakanan negara sekali gus meningkatkan sosio ekonomi petani serta usahawan terbabit.


MOHAMAD Roff menandatangani Goat 2 Go Animal Garden sambil diperhatikan Kamariah.

“Pembangunan teknologi MARDI berlandaskan kehendak pasaran bagi menjamin bekalan makanan sentiasa mencukupi dan boleh didapati pada bila-bila masa.

“Sektor agromakanan adalah sumber tenaga kepada penduduk negara ini. Dianggarkan lebih 500,000 orang terbabit dalam sektor berkenaan termasuklah petani, nelayan penternak dan pemberi perkhidmatan.

“Fungsi MARDI hingga kini sebagai sebuah pusat yang memberikan perkhidmatan pakar dalam industri makanan dan pertanian termasuk industri asas tani (IAT).

“Ia termasuk perkhidmatan perundingan, makmal analisis, jaminan kualiti serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi beramah mesra bersama media di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr Kamariah Long.

Mohamad Roff berkata, Rancangan Strategi Korporat (RSK) dibangunkan selaras dengan penjenamaan semula yang menekankan kepada memperkasa peranan MARDI sebagai institusi penyelidikan dalam bidang agromakanan.


SEBAHAGIAN wakil media dan Mohamad Roff memberi makan kepada ternakan.

“Warga MARDI perlu berusaha melangkaui had kebolehan, menghasilkan penyelidikan di luar jangkaan demi masyarakat dan negara.

“Mereka perlu saling menyokong antara satu sama lain untuk menjadi lebih baik dalam menjana dan memindahkan teknologi serta membina jalinan yang rapat.

“Kita perlu melaksanakan R&D berorientasikan kehendak pasaran dan penyelesaian yang praktikal,” katanya.

Menurutnya, pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM41 juta kepada MARDI untuk pembangunan institut berkenaan.

Justeru, katanya yang sudah lebih 30 tahun berkhidmat bersama MARDI berkata, harapannya mahu memberi fokus kepada projek yang mempunyai impak tinggi kepada masyarakat.

“Antaranya meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pegawai penyelidik MARDI menerusi pelajaran. Kita menggalakkan mereka menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi supaya dapat melahirkan modal insan yang terbaik.

“Saya berharap mereka tidak hanya bergantung kepada peruntukan dan dana yang diberikan kerajaan semata-mata sebaliknya harus bergerak serta memberanikan diri memohon dana lain daripada projek luar yang lebih besar untuk menjalankan R&D,” katanya.


MEMBERI susu kepada anak kambing.

INFO

Empat Teras Rancangan Strategi Korporat (RSK) MARDI:

• Memperkukuh rantaian nilai agromakanan melalui R&D

• Memastikan teknologi yang dijana penyelidik dipindah, diguna dan memberi manfaat kepada golongan sasar dan masyarakat

• Memperkasa kapasiti dalaman

• Menyerlahkan visibiliti MARDI melalui jaringan dan pengantarabangsaan

Hala Tuju Strategik R&D MARDI:

• Pembangunan teknologi pendahulu dan baru bagi sektor agromakanan

• Meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran

• Memperkasakan pertanian pintar terhadap perubahan cuaca

• Pembangunan produk untuk kesihatan dan kesejahteraan masyarakat

• Mengoptimumkan penggunaan sumber asli

• Meminimumkan kehilangan selepas tuai

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 11:56 AM