X
AHMAD Shabery (kiri) melancarkan TEKUN Pay sambil diperhatikan Tajuddin dan Nor Azita.
AHMAD Shabery (kiri) melancarkan TEKUN Pay sambil diperhatikan Tajuddin dan Nor Azita.
Mohamad Hussin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) melancarkan aplikasi mudah alih TEKUN Pay sebagai inisiatif mempelbagaikan saluran bayaran balik pembiayaan usahawan.

Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Nor Azita Abdul Rahman berkata, pihaknya sudah menyalurkan dana pembiayaan perniagaan bagi membantu peniaga kecil untuk memulakan dan mempertingkatkan perniagaan sedia ada.

Beliau berkata, sejak diwujudkan pada 1998, TEKUN Nasional sudah memberi pembiayaan perniagaan kepada 402,259 usahawan dengan bilangan pinjaman sebanyak 526,281 yang bernilai hampir RM5 bilion di seluruh negara.

“Ini menunjukkan kerajaan melalui TEKUN Nasional sememangnya komited dalam membantu usahawan Melayu dan Bumiputera.

“Bagi memastikan pembiayaan yang disalurkan kepada usahawan dapat dikutip semula, TEKUN Nasional juga mengambil inisiatif mempelbagaikan saluran bayaran balik.

“TEKUN Nasional menyahut cabaran menuju ke era digital dengan menyediakan aplikasi mudah alih TEKUN Pay yang lebih relevan tanpa tunai, tanpa kertas dan lebih sistematik untuk kemudahan usahawan dengan kerjasama RHB Islamic Bank,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian Seminar Asas Keusahawanan Negeri Selangor dan pelancaran aplikasi mudah alih, TEKUN Pay di Putrajaya, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Nor Azita berkata, usahawan boleh menggunakan aplikasi ini untuk menyemak maklumat akaun pembiayaan dan membuat bayaran balik pembiayaan secara atas talian.

SEBAHAGIAN usahawan menerima pinjaman TEKUN Nasional bersama Ahmad Shabery.
SEBAHAGIAN usahawan menerima pinjaman TEKUN Nasional bersama Ahmad Shabery.

“Aplikasi TEKUN Pay ini boleh dimuat turun melalui Android Playstore dan Apple Appstore. Melalui aplikasi ini, usahawan TEKUN boleh membuat bayaran menggunakan perbankan internet melalui bank yang menggunakan ‘Financial Process Exchange’ (FPX).

“Sejak aplikasi ini didaftarkan di Android Playstore pada Julai tahun lalu, sebanyak 2,391 aplikasi sudah dimuat turun membabitkan jumlah RM197,000 berjaya dikutip,” katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 500 usahawan sekitar Selangor hadir ke seminar itu bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai TEKUN Nasional.

Menurutnya, sejak penubuhan hingga Januari lalu, 693 siri Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional dilaksanakan membabitkan seramai 169,932 usahawan di seluruh negara.

“Inisiatif ini selari dengan hasrat dan matlamat penubuhan TEKUN Nasional dalam menyediakan pembiayaan mikro serta perkhidmatan sokongan pembangunan keusahawanan.

“Melalui inisiatif ini, ia dapat membantu usahawan meningkatkan perniagaan, pendapatan dan seterusnya taraf ekonomi mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 3:01 AM