BUNGA keduduk ialah spesies bunga yang mampu menjadikan madu kelulut lebih berkhasiat.
BUNGA keduduk ialah spesies bunga yang mampu menjadikan madu kelulut lebih berkhasiat.
SARANG kelulut model Mustafa Hive.
SARANG kelulut model Mustafa Hive.
MOHD Fisol (empat dari kiri) melihat projek madu kelulut.
MOHD Fisol (empat dari kiri) melihat projek madu kelulut.
Mohd Sharumnisham Shahbudin

Biarpun diduga projek madu lebah kelulut mengalami kerugian tahun lalu apabila hampir 40 sarang musnah akibat fenomena El Nino, namun ia tidak mematahkan semangat penduduk Kampung Kubang Menerong Dalam, Kubang Pasu, Kedah, untuk meneruskan Projek Pusat Inovasi Komuniti (CIC).

Ketua projek, Ahmad Mohd Noh, 63, berkata, fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca panas di negeri ini mengakibatkan pihaknya mengalami kerugian dianggarkan RM40,000 selepas koloni kelulut mati dan sarang diserang kulat.

Menurutnya, bagi menyelamatkan sarang yang belum terjejas, pihaknya terpaksa memusnahkan sarang itu dengan membakarnya.

“CIC Jerlun ini bermula dua tahun lalu apabila pihak Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memilih beberapa penduduk dalam Parlimen Jerlun bagi tujuan membantu meningkatkan pendapatan.

“Asalnya projek ini ingin dijalankan secara individu namun mendapati ia kurang efektif dan mencadangkan dibuat secara berkelompok,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Pegawai Daerah Kubang Pasu, Mohd Fisol Md Noh, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Pertanian Daerah Kubang Pasu, Norashikin Abdul Razak.

Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kubang Menerong Dalam berkata, pihak NCIA turut bersetuju dengan cadangan itu dan menyalurkan geran RM80,000 bagi membeli 70 sarang lebah.

“Pada mulanya, projek disertai 15 peserta, tetapi kini hanya tinggal 12 orang saja kerana ada yang menarik diri dan meninggal dunia.

“Objektif utama projek bukan mencari keuntungan semata-mata, tetapi lebih menjaga kebajikan ahli. Hasil jualan madu digunakan untuk pembangunan dan pengurusan projek.

“Kami akan menyerahkan sumbangan kepada ahli pada masa tertentu seperti sambutan hari raya,” katanya yang membenarkan kebun getahnya menjadi lokasi projek ini.

Menurutnya, hasil jualan madu itu juga membolehkan 16 sarang dibeli bernilai RM16,000 yang direka khusus seorang penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Zulkifli Mustafa. Ia bagi meneruskan projek itu selepas musibah yang melanda tahun lalu.

Sarang dikenali Mustafa Hive itu berupaya menghasilkan madu seawal tiga minggu saja kerana saiznya lebih kecil berbanding sarang biasa dan berupaya menghasilkan 200 hingga 500 gram madu setiap sarang.

Menariknya, sarang itu dibina secara pasang siap dan boleh dipindahkan dengan mudah.

“Pihak CIC turut mendapat kerjasama daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan USM dari segi penyelidikan, kursus dan pemasaran.

“Mereka kini dalam usaha meningkatkan pengeluaran pada tahun ini. Antara usaha dilakukan dengan menanam sendiri pokok bunga seperti keduduk, air mata pengantin dan ulam raja yang menjadi tumpuan kelulut.

“Kelulut yang dibiakkan di sini adalah dari spesies Heterotrigona itama dan Lepidotrigona terminata,” katanya.

Katanya, peserta projek juga berusaha mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak seperti Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jerlun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh bagi menambah sarang dan kelengkapan kemudahan di ladang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 11:04 AM