MOHD Mahdi (empat dari kanan) menyerahkan bantuan makanan ternakan kepada penternak.X
MOHD Mahdi (empat dari kanan) menyerahkan bantuan makanan ternakan kepada penternak.X
Mohamad Hussin

Program 1 Graduan, 1 Penternak Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal merancakkan lagi projek perintis ternakan udang galah di Besut, Terengganu.

Ia seterusnya dapat meningkatkan industri penternakan akuakultur khususnya udang galah di Malaysia.

Program ini tanda keprihatinan pengurusan dan mahasiswa UMT berkenaan isu komuniti iaitu penternakan akuakultur.

Ketua Seksyen Pengurusan Kualiti Air, Institut Akuakultur Tropika (IAT) UMT, Dr Nor Azman Kasan berkata, projek ini banyak memberi manfaat dan kelestarian kepada alam sekitar amnya di sekitar Besut.

Beliau berkata, projek ini bakal menjadi perintis dalam menerajui sektor penternakan udang galah Macrobrachium rosenbergii. Ia boleh diusahakan penternak di seluruh negara.

“Projek perintis ternakan udang galah (semua jantan) adalah implementasi kajian terkini berkaitan ternakan udang galah organik.

“Kajian ini menunjukkan hasil akhir dianggarkan sebanyak dua kali ganda daripada ternakan udang galah biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program 1 Graduan, 1 Penternak Akuakultur UMT di Besut, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa.

Nor Azman berkata, konsep penternakan organik sangat mementingkan kaedah penternakan secara mesra alam.

“Dalam penternakan organik, ia tidak membabitkan penggunaan bahan kimia sementara sumber makanan udang galah adalah melalui rantaian makanan semula jadi.

“Dari segi kualiti produk, hasil premium penternakan organik adalah lebih sihat dan selamat,” katanya.

Menurutnya, hingga kini, penternakan secara organik bagi projek akuakultur ini masih belum diusahakan secara sistematik.

“Sekiranya projek perintis ini berjaya, ia bakal menjadi model pertama penternakan udang galah organik di rantau ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:46 PM