NAWI (tengah) bersama peserta selepas pelancaran inovasi produk keropok ayam.
Aslina Abu Bakar

Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui program inovasi dilaksanakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Terengganu berjaya menghasilkan produk keropok berasaskan ayam tanpa bahan perasa yang pertama di Malaysia.

Penyelidikan yang dijalankan selama setahun dengan peruntukan RM49,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu akan berada di pasaran dalam masa terdekat bukan sahaja di dalam negara, malah bakal ‘terbang’ ke Dubai.

Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu Nawi Mohammad berkata, hasil inovasi berkenaan, MARDI dan MARA akan membantu usahawan menggunakan teknologi itu melalui latihan keusahawanan secara berpakej.

“Produk keropok lekor ayam ini akan dihasilkan oleh usahawan MARA iaitu syarikat Sinku Food Industries Sdn Bhd (Sinku) untuk memproses dan memasarkan produk berkenaan.

“Untuk permulaan, sebanyak 4,000 paket akan diproses untuk setiap kali pengeluaran membabitkan tiga saiz berbeza dengan jangkaan harga RM2 hingga RM4 sepaket,” katanya selepas majlis pelancaran inovasi produk keropok ayam di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Sementara itu, Saintis MARDI Nor Salasiah Mohamed berkata, kejayaan itu terhasil daripada formulasi keropok yang menggunakan isi ayam, berbeza dengan keropok ayam di pasaran yang menggunakan bahan perasa tidak sihat.

“Bagi penghasilan keropok yang baik dan rangup, ketebalan hirisan serta formulasi produk amat penting.

“Kajian yang dibuat meliputi pembangunan formulasi dan parameter pemprosesan bagi menghasilkan saiz dan bentuk keropok untuk menjadikan ia lebih rangup dan sedap.

“Selain itu, kajian mikrobiologi, ketengikan, jangka hayat dan nilai pemakanan juga dijalankan bagi memastikan ia boleh bertahan selama setahun,” katanya.


NAWI (dua dari kiri) bersama tetamu menunjukkan tanda bagus selepas pelancaran inovasi produk keropok ayam.

Pengarah Urusan Sinku, Zaleha Mohamad berkata, produk barunya itu yang akan dipasarkan sekitar Jun atau Julai depan dijangka mendapat sambutan hangat pelanggan kerana ia dihasilkan tanpa menggunakan perisa tambahan.

Beliau berkata, sebagai syarikat pengeluar makanan, pihaknya terpanggil untuk mengeluarkan makanan ringan yang diperbuat daripada 100 peratus isi ayam segar tanpa penggunaan sebarang perisa seperti lambakan produk sedia ada di pasaran.

“Untuk permulaan, kami menyasarkan penghasilan 4,000 tin keropok lekor ayam dalam sehari selepas menerima kelengkapan peralatan dan mesin pembuatan.

“Keropok lekor ayam ini dihasilkan dalam tiga bentuk yang berbeza iaitu segi empat, bulat dan ‘popcorn’ dengan dua saiz pembungkusan seberat 40 dan 70 gram,” katanya.

Zaleha yang mempunyai kilang memproses keropok lekor di kawasan Perindustrian Chendering, akan memasarkan produk di 43 kios Leko-Leko miliknya di seluruh negara.

“Saya yakin keropok lekor ayam ini mampu menambat hati semua lapisan masyarakat dengan harga berpatutan yang ditawarkan bermula dari RM2 hingga RM4 bagi pasaran tempatan.

“Dalam perancangan akan datang, saya mahu memasukkan produk ini di bawah Program Galakan Eksport Bumiputera yang dilaksanakan SME Corp dengan kerjasama MARA untuk pasaran ke luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 7:02 AM