AHMAD Shabery (tiga dari kanan) melihat projek tanaman nanas selepas Pelancaran Model Tanaman Nanas Tanah Tinggi Jelebu.
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu, Negeri Sembilan berpotensi menjadi pengeluar nanas (Ananas comosus) utama di negeri ini berikutan kawasan seluas 40 hektar di Tanah Tinggi Jelebu, Kongkoi dan 12 hektar di Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Jelebu, menjadi kawasan utama penanaman nanas.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Mohd Anim Hosnan berkata, nanas jenis MD2 di tanam di tanah tinggi berkenaan manakala pelbagai varieti nanas di CCRC Jelebu.

Katanya, nanas MD2 yang ditanam di tanah tinggi adalah nanas terbaik dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk negara ini selain mempunyai tempoh matang lebih singkat iaitu 14 bulan berbanding nanas lain yang mencapai usia matang pada 16 bulan.

"Sebelum mula ditanam di Jelebu, nanas MD2 ini sudah ditanam di Baling, Kedah selain Seri Menanti, Kuala Pilah dan LPNM akan membuka satu lagi kawasan tanaman di Lojing, Gua Musang, Kelantan tidak lama lagi.

"Di Baling, buat permulaan nanas ditanam di atas tanah seluas 10 hektar daripada keluasan 80 hektar yang akan diusahakan manakala di Seri Menanti daripada 80 hektar, lapan hektar tanah sudah ditanam dan ketika ini menunggu masa untuk dituai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran Model Tanaman Nanas Tanah Tinggi Jelebu dan Lawatan Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di CCRC Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias.

Mohd Anim berkata, nanas MD2 yang ditanam di tanah tinggi ini adalah nanas premium yang dijual pada harga ladang RM3.50 sekilogram dan mampu mencapai berat sehingga 3.5 kilogram sebiji.

"Nanas ini mempunyai empat kali ganda vitamin C daripada nanas biasa, tahan lasak dan tidak mudah rosak selain mempunyai rasa lebih manis dan rangup disebabkan faktor pembesaran dipengaruhi suhu lebih sejuk pada waktu malam.

"Varieti nanas MD2 ini semakin popular untuk ditanam di negara ini dan kawasan tanah tinggi menjadi pilihan selepas kajian mendapati tanah berkenaan mengandungi mineral lebih baik berbanding tanah gambut biasa.

"Berbanding nanas biasa, ia memerlukan penjagaan khusus terutama bagi memastikan tiada rumput di sekeliling pokok yang menjadi pesaing kepada nanas. Batas yang ditanam nanas akan ditutup dengan plastik silvershine bagi mengawal rumpai," katanya.

Menurutnya, selain dijual di pasaran tempatan nanas MD2 turut dieksport ke Timur Tengah malah China mahu mengimport lebih banyak nanas ini.


SEBAHAGIAN usahawan industri asas tani bergambar bersama Ahmad Shabery.

Sementara itu, Pengarah CCRC Jelebu, Suhaimi Abu Bakar berkata, projek tanaman nanas mendapat kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), LPNM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Katanya, projek tanaman sudah bermula sejak Oktober 2013 secara berperingkat membabitkan empat fasa penanaman dengan anak benih diterima daripada LPNM.

"Antara nanas yang ditanam di sini terdiri daripada jenis N36, Yankee, Crystal Honey, Morris, Nanas Sarawak dan MD2 dengan jumlah keseluruhan mencecah 277,300 pokok.

"Menariknya semua kerja menanam, membaca, menyembur racun, menuai selain membuat kuih tart, jem dan kek nanas dilakukan sendiri pelanggan CCRC. Sejak projek bermula, seramai 475 pelanggan terbabit dengan industri ini," katanya.

Suhaimi berkata, mereka dilatih oleh pegawai LPNM mengenai cara menanam nanas. Di samping mendapat kemahiran dalam bidang pertanian ini, mereka juga membantu mencari pendapatan yang akan digunakan sebaik tamat menjalani latihan di sini.

"Jualan sebanyak RM68,639 sudah diraih sejak 2014 hasil daripada jualan produk makanan dan juga nanas segar yang dikenali juga sebagai Titigold," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 12:00 AM