Mohamad Hussin

Pengambilan susu segar dalam kalangan rakyat Malaysia perlu ditingkatkan kepada 50 liter perkapita setahun menjelang 2050. Bermakna negara memerlukan 2,260 bilion liter susu segar setahun yang dihasilkan daripada 223,014 lembu tenusu.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan yang ingin melihat generasi akan datang lebih sihat menerusi pengambilan susu segar.

Kini terdapat 852 penternak lembu tenusu di Malaysia membabitkan 21,000 lembu tenusu sementara pengeluaran susu adalah 36.5 juta liter susu setahun.

Ia antara usaha kerajaan untuk memacu transformasi sektor perniagaan tani dan meningkatkan sumbangan industri tenusu tempatan sekali gus merancakkan sosioekonomi luar bandar menerusi pewujudan peluang pekerjaan serta keusahawanan.

Sektor pertanian boleh berkembang maju menjadi industri yang kukuh selain memastikan bekalan makanan mencukupi selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (2011-2020).

Penulis baru-baru ini berpeluang menemu bual seorang penternak lembu tenusu dan pedaging, Soyepon Parman, 35, yang mengusahakan lebih 40 lembu tenusu baka Jersey diimport dari Australia selain 30 lembu pedaging.

Menurutnya, dia mula menceburi bidang ternakan sejak berusia belasan tahun dengan membantu ayahnya, Parman Sikon, 72, membuat kerja ladang.


SOYEPON mengisar rumput untuk diberi makan kepada lembu.

“Sebenarnya, sejak kecil saya sudah membantu ayah membuat kerja ladang seperti mengusahakan tanaman kelapa dan tebu selain ternakan seperti ayam kampung, kambing serta lembu.

“Apabila meningkat dewasa saya mendalami ilmu daripada ayah untuk mengusahakan sendiri ternakan lembu tenusu dan daging ini,” katanya yang ditemui di ladang ternakannya di Kampung Perepat, Klang.

Soyepon yang juga usahawan bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor berkata, buat permulaan dia mengeluarkan modal RM40,000 untuk membeli lembu tenusu dan pedaging.

“Sejak beberapa tahun saya mengusahakan ternakan ini termasuk kos keseluruhan membuat ladang fidlot secara intensif dalam kandang dan sudah membelanjakan kira-kira RM150,000.

“Mengimport lembu ada syarat yang perlu dipatuhi termasuk sebelum dijual dan haiwan itu perlu dikuarantinkan selama 15 hari.


SOYEPON memberi makan kepada lembu tenusu.

Menurutnya, proses kuarantin bermula sehari selepas lembu melepasi pemeriksaan di sempadan. Lembu yang tiba di pintu sempadan biasanya diperiksa dokumentasi dan saringan gejala penyakit.

“Seterusnya, sebaik tiba di pusat kuarantin pula, sekali lagi pemeriksaan gejala penyakit dilakukan sebelum lembu disembur ubat. Proses mengambil darah dilakukan sebelum pemberian vaksin sepanjang tempoh berkenaan (15 hari).

“Lembu yang dibawa masuk ini hanya boleh dijual pada hari ke-16, namun jika ada lembu yang berpenyakit ia akan dimusnahkan,” katanya.

Beliau ketika ditanya cabaran mengusahakan ternakan ini berkata, kekangan kewangan antara cabaran utama kepada usahawan Melayu yang hendak memulakan perniagaan ini.


PEKERJA membantu menguruskan lembu tenusu.

“Kadangkala minat seseorang itu ada untuk mengusahakan ternakan ini namun kekangan kewangan menyebabkan impian itu hanya sekerat jalan dan mereka tidak mampu meneruskannya.

“Mana tidaknya, setiap kali hendak membeli lembu sama ada diimport atau tempatan, kami terpaksa membayar dulu wang sebelum dijual kepada pelanggan,” katanya.

Soyepon berkata, biasanya dia mengimport daging tenusu dari Australia dengan harga antara RM10,000 hingga RM12,000 seekor.


ANTARA lembu tenusu.

“Hasil tenusu itu akan dijual di pusat pengumpulan susu di kawasan Selangor sebelum diedarkan kepada mana-mana syarikat terutama pengeluar susu segar.

“Bagi lembu pedaging diimport dari Thailand yang dibeli dengan harga antara RM3,000 hingga RM3,500 seekor pula akan dijual selepas empat hingga lima bulan.

“Harga jualan lembu pedaging ini antara RM5,000 hingga RM5,500 seekor apabila mencapai berat antara 300 hingga 350 kilogram (kg),” katanya.


SOYEPON membersihkan lembu tenusu.

Fidlot lembu tenusu

• Penternakan lembu fidlot ialah menternak lembu secara intensif dalam kandang dengan memberi makanan yang bermutu (rumput dan konsentrat), air bersih, mineral dan vitamin secukupnya.

• Sistem ini sangat sesuai dan cekap bagi penternak yang mempunyai kawasan terhad.

• Pemilihan tapak fidlot yang sesuai sangat penting dalam melaksanakan penternak secara intensif.

• Kawasan berkenaan perlulah mempunyai kemudahan asas seperti kesediaan sumber air dan makanan, kemudahan jalan raya, bekalan elektrik serta kawasan pembuangan najis.

• Selain itu, ia membabitkan topografi yang sesuai (tidak terlalu berbukit atau terlalu rendah dan terletak sekurang-kurangnya 0.5 kilometer radius daripada kawasan perumahan atau perindustrian.

• Penentuan reka bentuk kandang yang betul adalah penting untuk penempatan lembu fidlot dalam persekitaran yang selesa, selain mengambil kira kos pembinaan dan pengurusan menguntungkan.

• Reka bentuk kandang dipengaruhi iklim, bilangan ternakan dan rancangan perkembangan fidlot pada masa hadapan.

• Ruang kandang yang hendak dibina bergantung pada bilangan ternakan yang bakal dipelihara.

• Keluasan ruang kandang termasuk palung makanan yang diperlukan bagi seekor lembu tenusu dewasa antara 30 hingga 35 kaki persegi.

• Lantai perlu dibuat daripada konkrit simen untuk mengelakkan keadaan becak dan memudahkan kerja pembersihan.

• Lantai simen mestilah mempunyai ketebalan sekurang-kurangnya 1.2 meter (tertakluk kepada kepadatan tanah) dengan kecerunan dua peratus menghala ke parit.

• Bumbung kandang perlu dibina untuk memberi perlindungan kepada ternakan ketika hujan dan panas.

• Bahan yang boleh digunakan untuk membina bumbung termasuk zink, asbestos, lapisan getah tar dan atap.

• Kandang atau fidlot mestilah mempunyai sistem saliran yang lengkap supaya air dan najis dapat disalirkan terus ke kolam takungan najis.

• Dengan adanya kolam takungan, semua bahan buangan atau kumbahan fidlot dapat dikumpulkan dan boleh dikitar semula sebagai baja organik.

• Palung makanan lembu fidlot perlu dibina di tepi kandang supaya pemberian makanan mudah dijalankan.

• Kedudukan palung air bergantung pada reka bentuk kandang.


PENGARAH JPV Selangor Dr Akma Ngah Hamid (lima dari kiri) pada majlis penyerahan lembu tenusu kepada penternak di kandang milik Soyepon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 1:04 PM