JABATAN Perikanan Pahang menyediakan benih ikan talapia merah untuk dilepaskan di empangan dan tasik.
JABATAN Perikanan Pahang menyediakan benih ikan talapia merah untuk dilepaskan di empangan dan tasik.
MUHAMMAD Safian (depan dua dari kiri) dan Azahari (depan tiga dari kiri) melepaskan benih ikan.
MUHAMMAD Safian (depan dua dari kiri) dan Azahari (depan tiga dari kiri) melepaskan benih ikan.
Mohd Rafi Mamat

Jabatan Perikanan Pahang melepaskan sebanyak 2.5 juta pelbagai benih ikan air tawar secara berperingkat di perairan umum negeri ini sepanjang tahun lalu, sebagai usaha memelihara dan mengekalkan sumber perikanan.

Antara benih ikan yang dilepaskan ialah ikan lampam sungai, terbul, baung, patin, kerai lampam, kelah, ketutu dan temoleh.

Menariknya udang galah turut dimasukkan dalam program pelepasan itu, bagaimana pun hanya sungai yang ‘bertuah’ dipilih mengikut kesesuaiannya.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman, berkata bagi tempoh empat bulan tahun ini, pihaknya melepaskan 375,000 benih ikan ke sungai dan empangan di Kuantan, Temerloh, Jerantut dan Maran.

Katanya, program pelepasan benih ikan itu bertujuan menjamin kelestarian sumber perikanan sungai selain meningkatkan sumber pendapatan nelayan darat.

Beliau berkata, usaha itu juga dapat menyokong pembangunan industri perikanan rekreasi supaya ia dapat dinikmati generasi akan datang yang terbabit dengan aktiviti seperti memancing, menjala dan menjaring.

Selain itu, katanya, ia dapat menambah stok ikan di sungai, tasik dan empangan yang semakin berkurangan disebabkan aktiviti penangkapan tidak terkawal, ia juga dapat meningkatkan sumber pendapatan nelayan darat.

“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, 375,000 benih ikan dilepaskan di empat daerah membabitkan lampam sungai, terbul, baung, patin, kerai lampam, kelah dan temoleh.

“Selain Sungai Pahang aktiviti melepaskan benih ikan turut dilakukan di Sungai Tekal, Sungai Retang dan Sungai Cheka di Jerantut serta Sungai Lipis yang terkenal dengan pelbagai jenis ikan air tawar.

“Pelepasan benih ikan turut dilakukan di beberapa estet ikan, empangan, lata dan tasik yang menjadi lokasi aktiviti memancing penduduk setempat dan luar pada hujung minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program pelepasan benih ikan dan penutup kembara santai Boat On The Road 2018 disempurnakan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail di Empangan Chereh, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Pada program julung kali diadakan itu turut diadakan pertandingan memancing untuk agensi kerajaan disertai 90 peserta yang menawarkan wang tunai dan hadiah iringan.

Sempena program itu, 7,520 benih ikan kelah, temoleh, lampam sungai dan terbul dilepaskan bagi menjamin kelestarian sumber perikanan selain menjadi pusat kajian ikan air tawar di negeri ini.

Azahari berkata, tahun lalu program pelepasan benih ikan turut diadakan di empangan terbabit yang kini terkenal dengan pelbagai spesies ikan air tawar berkualiti tinggi.

Katanya, jabatan sentiasa mengharapkan sokongan nelayan darat dan masyarakat setempat untuk melaporkan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang perikanan seperti meracun termasuk menggunakan bahan letupan serta arus elektrik bagi tujuan menangkap ikan.

“Sokongan dan kerjasama diberikan dapat membantu mengekalkan sumber perikanan di negeri ini yang terjejas sekiranya kegiatan dilarang masih dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya yakin sumber perikanan sungai di negeri ini terus kekal apabila program pelepasan benih ikan dilakukan secara berterusan setiap tahun,” katanya yang akan terus berusaha membantu nelayan darat.

Beliau berkata, tahun lalu lebih 916.3 tan ikan air tawar dan payau didaratkan yang memberi pendapatan kira-kira RM22.9 juta berbanding 977.8 tan (RM24 juta) pada 2016.

Katanya, kini terdapat 1,481 nelayan darat berdaftar di sembilan daerah di negeri ini, 779 orang menerima elaun sara hidup RM200 sebulan. Jumlah teramai di Rompin iaitu 289 diikuti Jerantut (265), Maran (269) dan Temerloh (153).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 12:50 PM
Digital NSTP Subscribe