MELAKUKAN kerja meletakkan label sebelum dipasarkan.
APABILA lapisan putih tebal timbul menunjukkan pati sudah matang.
HM Digital

Pasaran dunia menjangkakan produk minuman priobiotik mengalami peningkatan berdasarkan permintaan pengguna yang inginkan minuman ringan dengan pilihan lebih sihat.

Malah satu kaji selidik dilakukan ke atas penerimaan produk terbabit dalam pasaran minuman ringan di Amerika Syarikat mendapati minuman seperti kombucha antara produk terlaris.

Ia mencatatkan hasil jualan 12 kali ganda bagi tahun ini daripada rekod tiga tahun lalu ketika satu syarikat, Health Ade memperkenalkan produk terbabit ke pasar tani.

Menggunakan bahan organik dan unsur semula jadi iaitu mikrobiotik bagi menghasilkan ramuan penting seperti vitamin, mineral dan protein, minuman tradisi ribuan tahun dari Asia itu dilihat sebagai aliran terbaru dalam industri minuman.

Kombucha sebenarnya adalah minuman peraman yang dibuat daripada teh, gula, bakteria dan yis. Ada sesetengah orang memanggilnya sebagai teh cendawan, tetapi kombucha bukanlah sejenis cendawan. Ia adalah koloni bakteria dan kulat yis.

Teh kombucha dihasilkan dengan memasukkan koloni ini ke dalam air teh bergula dan biarkan ia menjalani proses penapaian. Cecair yang terhasil selepas pemeraman ini mengandungi cuka, vitamin B dan beberapa bahan lain.

Di Asia, kombucha hanyalah produk dihasilkan secara kecil-kecilan oleh pembuat herba. Meskipun penggunaannya pelbagai di Indonesia dan Malaysia, ia tidak pernah dipasarkan pada skala besar.

Kombucha lebih popular dengan panggilan Alga Mekah dalam kalangan tempatan memiliki rasa seperti cuka epal iaitu ‘tajam’ dan masam kerana ia dihasilkan menerusi kaedah peraman atau istilah komersialnya, kultur.

Pengamal perubatan melihat ia sebagai minuman kesihatan yang dipercayai dapat membantu merawat pelbagai masalah kesihatan iaitu kencing manis, masalah perut dan minuman tenaga.

Menurut Pengusaha Produk Alga Mekah Ahmad Sanusi Sulaiman, satu ketika dulu produk berkenaan begitu popular hingga membantu pihaknya meraih pendapatan sekitar RM6,000 sebulan.

“Saya antara pengusaha terawal mengeluarkan produk terbabit dan memasarkan minuman berkenaan di Selangor dan Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian produk itu mendapat permintaan di Melaka dan Kelantan.

“Pada awalnya teh kombucha ini dihasilkan untuk kegunaan sendiri sebagai ikhtiar kepada masalah kesihatan isteri yang juga pesakit diabetes dan hampir mengalami serangan strok akibat paras gula terlalu tinggi.

“Benih cendawan itu dibawa rakan dari negara seberang kerana menurut beliau ia penawar kepada pelbagai penyakit. Setiap rumah di tempat asalnya pasti memiliki tempayan membuat pati alga mekah itu.

“Dia ajar cara pembiakan iaitu menggunakan balang kaca. Hanya perlu sediakan bancuhan air teh bersama gula ke dalam bekas peraman. Kemudian ambil benih dan masukkan ke dalam campuran teh terbabit. Sukatan bergantung kepada saiz bekas. Selepas dua minggu, pati daripada proses kultur ditapis untuk dijadikan produk minuman herba.

“Melihat impak positif pada isteri yang semakin sihat dan paras gulanya juga terkawal, saya mula jadikan ia amalan sendiri serta ahli keluarga,” katanya.

Kata Ahmad Sanusi lagi, permintaan terhadap produk berkenaan ketika tujuh tahun lalu meningkat hinggakan sering didatangi pelbagai golongan untuk mendapatkan pati ‘cendawan ajaib’ itu.

“Untuk itu saya terpaksa tingkatkan pengeluaran secara tidak langsung proses pembiakan alga perlu dilakukan dalam konteks lebih besar. Daripada tempayan, saya terpaksa gunakan tong air berukuran 100 liter sebagai tempat kultur alga terbabit. Jadi terpaksa buka kilang kecil untuk menempatkan proses kultur sekali bagi memenuhi permintaan pasaran ketika itu.

“Pada 2012 saya menyediakan tiga tong bagi memproses pengkulturan terbabit untuk memenuhi permintaan pasaran begitu tinggi. Biasanya keluaran satu tong 100 liter hanya mampu menghasilkan sekitar 150 hingga ke 200 botol.

“Tempoh menuai hasil iaitu pati dilakukan selepas 15 hari apabila lapisan putih terapung di permukaan menandakan ia sudah matang dan air teh terbabit sudah bertukar menjadi pati kombucha. Jika masih berbaki rendaman cendawan itu melepasi minggu ketiga, pati berkenaan hanya sesuai untuk kegunaan luar seperti pembersih kuman mahupun bahan cucian,” katanya mempunyai kilang kecil di Kampung Kuala Pajam, Beranang.-Nurul Husna Mahmud

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 3:21 PM