X
HAMZAH (dua dari kiri) dan Tan (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai varieti durian.
HAMZAH (dua dari kiri) dan Tan (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai varieti durian.
Mohamad Hussin

Buat julung kalinya, Bangi Golf Resort (BGR) akan menganjurkan Durian Festival & Awards 2018 di Kelab Golf BGR, Bandar Baru Bangi, Selangor, pada 4 Ogos ini bagi memberi peluang kepada petani dan penggemar durian mempamerkan aksi masing-masing.

Acara ikonik itu membabitkan aktiviti pasar pekebun durian, forum pengetahuan durian, barisan durian terbaik, Kejohanan Durian Dunia 2018: Edisi Malaysia dan Fiesta Durian.

Penganjurnya, Tan Ban Keat berkata, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan festival berkenaan memandangkan rakyat Malaysia menggemari durian.

“Adalah menjadi hasrat kami mewujudkan satu platform komuniti bersama buat pekebun dan pencinta durian sama-sama berkumpul serta berkongsi keghairahan mereka terhadap raja buah ini.

“Temui hasil tanaman segar dan terbaik dari pekebun durian di pasar pekebun ini, apabila pekebun durian di seluruh Malaysia menawarkan tanaman mereka untuk dijual di bazar terbuka.

“Pelbagai jenis varieti akan dibawa termasuk musang king, D24 dan sebagainya. Pengunjung akan dapat bertemu dengan pengeluar durian secara dekat,” katanya pada sidang media sempena festival itu di Kelab Golf BGR, baru-baru ini. Hadir sama, Pengarah Eksekutif FastGrow (M) Sdn Bhd, Hamzah Hamid.

Tan berkata, produk sampingan durian dan anak pokok durian juga dijual di pasar terbuka itu sementara masuk adalah percuma.

“Kejohanan Dunia Durian kali pertama: Edisi Malaysia mencipta gelombang kegembiraan dalam kalangan komuniti pekebun durian sejak penubuhannya.

“Pertandingan ini terdiri daripada lima kategori: Musang King Terbaik (D197), Blackthorn Terbaik (D200), Tekka Terbaik (D160), D24 Terbaik dan kategori durian terbuka terbaik (untuk semua varieti lain yang tidak termasuk dalam kategori sebelumnya).

“Pada sebelah malamnya, tumpuan pasti kepada durian yang berada di kedudukan tiga teratas bagi setiap kategori di Kejohanan Dunia Durian 2018: Edisi Malaysia,” katanya.

Menurutnya, bagi pekebun dan pengunjung yang serius mengenai durian, terdapat beberapa bengkel praktikal disusun, apabila penceramah dijemput adalah pakar dalam bidang dan berkongsi pengetahuan mereka.

“Terdapat juga sesi praktikal sebagai sebahagian daripada forum pengetahuan di mana peserta diberi pandangan praktikal menanam durian dan alpukat.

“Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut boleh melayari laman web https://www.bangigolfresort.com/durianfestival,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 8:30 AM