Mohamad Hussin

Masalah padi angin dilihat mencengkam petani kerana ia menjejaskan hasil pendapatan mereka sekali gus merugikan industri padi negara.

Padi angin adalah sejenis padi yang mudah relai dan akan gugur ke tanah sebelum sempat dituai hingga menyebabkan kehilangan hasil tanaman itu.

Ia mula dikesan di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor pada 1988.

Melalui tinjauan musim padi 2/2016 oleh Jabatan Pertanian (DOA), sebanyak 1,088 lokasi sawah membabitkan 6,435 hektar di Selangor, Perlis, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang, dikesan ditumbuhi padi angin.

Bagaimanapun, kejadian padi angin di lokasi terbabit pada tahap teruk yang berbeza. Daripada keseluruhan kawasan yang ditinjau, 700 hektar mengalami tahap kejadian yang teruk antara 41 hingga 50 peratus mengakibatkan kerugian hasil kepada petani.

Sehubungan itu, Koperasi Pengurusan Berpusat Padi Parit Lima Timur (KPBPLT), Sungai Besar, Selangor dengan kerjasama syarikat BASF (Malaysia) Sdn Bhd melaksanakan teknologi dikenali sebagai Sistem Pengeluaran Clearfield (SPC).

Program ini turut mendapat sokongan teknikal dan khidmat nasihat daripada DOA dan IADA Barat Laut Selangor sepanjang tempoh satu musim penanaman padi.

Inovasi SPC ini bagi mengawal masalah padi angin dan membendung penyalahgunaan benih serta racun makhluk perosak tidak berdaftar.

GEORGE (tengah) dan petani melihat hasil padi yang menggunakan SPC.

Pengurus Kanan Asia Pasifik BASF George Varghese berkata, SPC adalah sistem yang terdiri daripada empat bahagian menggabungkan biji benih padi teraku yang toleran racun herba dengan racun herba berkualiti tinggi dari BASF.

Beliau berkata, surfaktan untuk membantu racun herba melekat pada tanah walaupun dalam keadaan basah dan panduan penggunaan pengawasan terperinci yang menggariskan langkah yang sepatutnya diambil untuk penanaman padi Clearfield berjaya.

“Hasil yang diperoleh dari siri petak demonstrasi di sebuah ladang contoh menunjukkan SPC adalah jalan penyelesaian yang sangat efektif untuk mengawal padi angin, walaupun petak sawah di sekitarnya mengalami infestasi (serangan perosak).

“Petak demonstrasi menunjukkan bahawa mengikut panduan penggunaan pengawasan sistem yang lengkap, SPC adalah jauh lebih berkesan berbanding amalan semasa yang biasa.

“Petani yang mengikut panduan penggunaan lengkap dapat mencapai hasil tuaian padi tujuh hingga lapan tan metrik sehektar,” katanya sempena Hari Ladang Kawalan Padi Angin di Sungai Besar, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur DOA Mohd Nasir Warris dan Pengerusi KPBPLT Mohd Saleh Abd Wahab.

JENTERA menuai padi di tapak yang menggunakan SPC.

Menurutnya, hasil demonstrasi itu menunjukkan SPC adalah satu-satunya cara terbukti untuk mengawal serangan padi angin yang menjadi masalah di beberapa kawasan.

“BASF dan rakan niaga kami sudah membuat pelaburan yang besar dalam teknologi ini supaya petani mempunyai peralatan efektif untuk memerangi padi angin.

“Enam petak sawah untuk demonstrasi disemai pada April lalu apabila empat lot dikerjakan mengikut panduan penggunaan ditetapkan DOA, IADA dan BASF merangkumi penyediaan tanah secara komprehensif serta jadual penggunaan racun herba yang ketat.

“Sementara dua lot lagi digunakan sebagai kawalan dan dikerjakan mengikut amalan yang menjadi kebiasaan petani. Perbezaan antara dua set petak sawah itu boleh dilihat dengan jelas walaupun bagi yang tiada pengalaman,” katanya.

PETANI memeriksa kualiti padi.

Katanya, petak sawah yang mengikut panduan penggunaan ditetapkan tidak menunjukkan sebarang serangan padi angin, walaupun kedua-dua petak sawah kawalan dan kawasan sekitarnya menunjukkan serangan yang teruk.

“Hasil tuaian petak sawah yang menghadapi serangan adalah 40 hingga 75 peratus lebih rendah disebabkan padi angin. Demonstrasi ini menekankan langkah yang diberikan dalam panduan penggunaan penanaman Clearfield termasuk penyediaan tanah yang sewajarnya.

“Sebelum mula menyemai dan mematuhi aturan masa penggunaan racun herba yang betul, adalah penting untuk mendapatkan keputusan terbaik,” katanya.

HASIL pendapatan petani meningkat.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, petak promosi ini bertujuan menekankan pematuhan SPC bagi pengawalan padi angin dalam pengurusan tanaman padi.

“Sistem ini dibangunkan pada tahun 2010 untuk pengawalan padi angin yang menggabungkan varieti padi MR220 CL2 dengan kaedah pengurusan SPC menggunakan racun ‘On duty’ (imidazolinone) mengikut kaedah ditetapkan.

“SPC menetapkan semburan racun dilakukan pada umur padi tiga hari lepas tanam (HLT). Selepas semburan racun ini, air perlu dimasukkan ke dalam sawah pada lima HLT,” katanya.

PETANI tertarik melihat pameran padi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 1:19 PM