DR Khadijah memeriksa rumput yang dimakan kambing.
Aslina Abu Bakar

Masalah kecacingan yang menyerang haiwan ternakan mengakibatkan kerugian besar kepada penternak sekiranya ia tidak diberi rawatan segera atau ubat bersesuaian.

Ternakan yang dijangkiti masalah kecacingan ini boleh dikenal pasti dengan melihat simptom yang dialami seperti masalah cirit birit, ternakan tidak sihat, kurus, lesu dan mati.

Ahli Kaji Parasit, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Khadijah Saad berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan terdapat dua jenis cacing yang aktif menyerang ternakan iaitu cacing hati (Fasciola gigantica) dan cacing penghisap darah (Heamonchus contortus).

Beliau berkata, cacing hati biasanya akan membiak di dalam hati dan hempedu ternakan sementara cacing penghisap darah pula hidup di dalam perut haiwan.

“Berdasarkan kajian, 55 peratus daripada 219 lembu dan kerbau yang disampelkan di Terengganu dijangkiti cacing hati. Kira-kira 267 kambing dan biri-biri yang disampelkan, 91 peratus daripadanya dijangkiti cacing penghisap darah.

“Selain itu, kami mendapati 4,800 cacing penghisap darah ditemui pada perut seekor ternakan yang mati akibat masalah kecacingan.

“Lebih merugikan apabila tiga hingga enam peratus hati ternakan yang disembelih terpaksa dibuang sebelum dijual kerana strukturnya yang rosak dan tidak elok,” katanya ketika ditemui di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


CONTOH cacing terdapat dalam badan haiwan ternakan yang sudah diawet.

Khadijah yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT berkata, seekor cacing penghisap darah boleh menghisap 0.05ml darah sehari dan sekiranya jangkitan merebak ia boleh mengakibatkan kematian serta kerugian yang besar kepada penternak.

“Kebanyakan penternak mengalami kerugian ribuan ringgit kerana mereka kurang pengetahuan dan kesedaran berkenaan bahayanya masalah kecacingan yang dihadapi haiwan ternakan.

“Malah, mereka juga kurang arif berkenaan tanda haiwan yang mengalami masalah kecacingan ini,” katanya.

Beliau berkata, setiap kali ternakan mengalami masalah kesihatan, penternak perlu membuat laporan kepada pakar termasuk Jabatan Perkhdimatan Veterinar (JPV).

“Selepas membuat laporan, pakar akan ke ladang ternakan untuk mengambil sampel dan membuat ujian makmal bagi mengetahui punca sebenar masalah itu. Kemudian barulah penternak boleh memberi rawatan seperti yang disarankan pakar.

“Ini kerana, kebanyakan penternak bertindak mengubati ternakan mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menawarkan penyelidikan kepada penternak melalui aktiviti lawatan di sekitar kandang atau ladang ternakan.


PEMERIKSAAN di ladang ternakan.

“Melalui lawatan ke kawasan lapangan, pihak kami boleh membantu penternak mengesan masalah kecacingan pada ternakan dengan harapan mereka dapat mengatasi perkara itu dengan cara sesuai sekali gus mengelakkan risiko kerugian.

“Selain mengambil sampel di kawasan ternakan melalui najis haiwan berkenaan, pihak kami juga memberi khidmat nasihat kepada penternak dan mengadakan seminar.

“Pendekatan ini penting kerana kami mahu penyelidik lebih dekat dengan penternak. Apabila berlaku sebarang kes, penternak boleh memaklumkan kepada kami. Pihak kami akan ke ladang mereka untuk mengambil sampel dan membuktikan jangkitan itu melalui ujian makmal,” katanya.

Selain itu, katanya, orang ramai tidak perlu khuatir kerana cacing yang terdapat pada hati dan perut ternakan ini tidak memberi kesan kepada manusia. Ia hanya menjangkiti ternakan.

“Malah, kesedaran di pusat penyembelihan juga bertambah baik kerana hati atau perut yang mempunyai cacing tidak akan dijual kerana bentuknya tidak elok dan rosak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:15 AM