Fazurawati Che Lah


HARI ini, sekali lagi masyarakat di negara ini menyambut Hari Malaysia iaitu tarikh pembentukan Malaysia yang menjangkau 56 tahun.

Bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih melambangkan perpaduan dan semangat cintakan negara demi kesejahteraan serta kemakmuran bersama.

Tema itu juga memupuk dan menyalakan nilai integriti, jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.

Dalam konteks universiti pula, gedung ilmu itu menjadi medan untuk mahasiswa memperkasakan semangat integrasi nasional selain memahami konteks bermasyarakat ke arah mencapai perpaduan dan penyatuan erat antara rakyat pelbagai kaum.

Elemen keharmonian dan berintegrasi itu penting diterapkan dalam diri setiap mahasiswa bagi mengelak daripada wujudnya isu sensitif seperti perkauman dan agama dalam persekitaran mereka.

Terdapat pelbagai cara boleh dilaksanakan pelajar dalam membentuk perpaduan di universiti.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Aznur Syah Azman berkata, semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa di universiti masih utuh apabila wujudnya kerjasama antara penuntut pelbagai kaum dalam menjayakan aktiviti di kampus.

Katanya, penekanan oleh Menteri Pendidikan melalui konsep kebahagiaan, cinta dan saling menghormati adalah tepat untuk menggambarkan perpaduan serta perlu disokong semua pihak terutama di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).

“Hal ini kerana lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan sahaja daripada sekolah harian biasa, tetapi ada juga daripada sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang tidak mendedahkan mereka kepada situasi sebenarnya hidup dalam masyarakat berbilang kaum.


MEMPELAJARI budaya lain membantu melahirkan rasa hormat.

“Kita tidak boleh menafikan ada juga pelajar Melayu yang melanjutkan pelajaran di SJK, ia hanya mendedahkan mereka terhadap nilai perpaduan dalam kuantiti yang kecil.

“IPT adalah salah satu platform terbaik untuk kita memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain,” katanya.

Jelasnya, di peringkat IPT kebanyakan mahasiswa tidak mempunyai masalah untuk bergaul antara satu sama lain.

“Program yang dianjurkan di IPT sentiasa menggalakkan penyertaan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang yang berbeza.

“Ini sekali gus memupuk semangat perpaduan antara kaum dan menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Katanya, pelbagai kegiatan kokurikulum di universiti mendedahkan kepada prinsip perpaduan kerana salah satu matlamat utama aktiviti dijalankan untuk mengeratkan hubungan mahasiswa selain meningkatkan sahsiah penuntut.

Pandangan itu turut dipersetujui penuntut Sains Sukan, Universiti Malaya (UM), Nor Hisham Mohamad, 22, yang melihat kegiatan di kampus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, suasana kepelbagaian bangsa dapat dilihat dalam aktiviti kurikulum di IPT, apabila mahasiswa masih boleh bekerjasama dalam menjayakan projek dijalankan.

Malah katanya, generasi muda perlu menghayati konsep perpaduan di bawah semua kelompok kaum di Malaysia dengan setiap orang menerima keunikan orang lain supaya dapat hidup bersama dalam saling menghormati dan percaya.

“Saya melihat aktiviti sukarelawan yang dibentuk di universiti membantu mengukuhkan semangat perpaduan pelajar dari pelbagai bangsa.

“Mungkin ada antara ahli yang kita tidak kenali walaupun sama fakulti atau kolej kediaman, tetapi apabila berkumpul bersama, kita akan saling kenal mengenali. Seterusnya hubungan yang terjalin diteruskan dan dikekalkan,” katanya.

Menurutnya, mahasiswa juga perlu merebut peluang mempelajari budaya lain melalui tarian dan bahasa kaum lain, sekali gus akan melahirkan mahasiswa yang saling menghormati agama serta kepercayaan kaum lain tanpa mencetuskan perkauman.


TERBABIT dengan aktiviti sukan meningkatkan perpaduan.

“Di universiti, pelbagai aktiviti seni boleh diceburi antaranya tarian, bahasa dan seni pertahankan diri yang mana setiap bangsa mempunyai keunikan budaya tersendiri.

“Tidak hanya terhad kepada budaya sendiri, jadi universitilah medium untuk mahasiswa mempelajari semua itu,” katanya

Bagi Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, UM, Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri, perpaduan yang dimaksudkan adalah lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada batasan warna kulit dan agama sahaja.

Katanya, pendidikan bukan sahaja mampu meningkatkan perpaduan, malah kekuatan inti pati perpaduan iaitu sikap kerjasama itu sendiri mampu memberikan impak positif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:20 AM
UNIVERSITI sebagai medan mahasiswa perkasa semangat perpaduan, saling memahami antara kaum.