PROGRAM Servis Kenderaan Ringan yang ditawarkan Kolej Komuniti Gerik, Perak. FOTO/NSTP
Oleh Fazurawati Che Lah


Lebih 80 peratus graduan servis kenderaan ringan Kolej Komuniti Gerik, Perak memperoleh pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian.

Kebanyakan graduan bekerja dengan syarikat penyelenggaraan tempat mereka menjalani latihan industri, selain membuka bengkel servis kenderaan.

Ketua Program Sijil Servis Kenderaan Ringan, Zulkifle Sukri berkata, sehingga kini, seramai 487 graduan berjaya dilahirkan daripada program itu sejak diperkenalkan pada 2010.

Zulkifle memberitahu, program Servis Kenderaan Ringan adalah salah satu kursus yang membolehkan penuntut mendapat pengetahuan dan kemahiran bukan sahaja secara teori tetapi secara amali dalam bidang automotif.

“Berbekalkan pengetahuan dan kemahiran yang digilap itu nanti dapat membantu penuntut apabila memasuki alam pekerjaan.

“Program ini menyediakan pengetahuan dan kemahiran menyelenggara kenderaan ringan untuk diaplikasikan dalam bidang automotif. Pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini membolehkan pelajar memulakan kerjaya seperti mekanik, juruteknik servis kenderaan, penasihat servis (service advisor) dan pengusaha bengkel servis, tayar, elektrik dan aksesori,” katanya.

Katanya, program itu juga melengkapkan penuntut dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengendalian bengkel, pemeriksaan

sistem kenderaan, penyelenggaraan sistem penyaman udara kenderaan serta servis asas kenderaan.

“Selain itu, penuntut juga memperoleh kemahiran dalam selenggara roda, sistem stereng, sistem gantungan dan sistem brek.

“Penuntut juga berpengetahuan dalam rombak rawat sistem klac, rombak rawat transmisi manual, rombak rawat transmisi automatik dan rombak rawat unit pacuan akhir.

“Melalui program itu juga, penuntut didedahkan dengan analisis kerosakan enjin, penyelenggaraan sistem elektrik enjin, penyelenggaraan sistem pengurusan enjin dan merombak rawat enjin,” katanya.

Menurut Zulkifle, bidang ker

jaya servis kenderaan ringan pada masa ini semakin diperlukan ekoran pengeluaran model kenderaan yang mengalami peningkatan setiap tahun.

Katanya, peningkatan pengeluaran kenderaan pada masa ini dipengaruhi faktor penambahbaikan dari segi teknologi hijau, penjimatan bahan bakar, keselamatan dan harga mampu milik.

“Untuk menampung perkembangan ini, tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam bidang automotif amatlah diperlukan.

“Bagi pelajar yang mengambil jurusan dalam bidang servis kenderaan ringan, mereka tidak perlu risau kerana banyak peluang pekerjaan ditawarkan dalam bidang automotif ataupun untuk bekerja sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 8:58 AM