PELAJAR tingkatan empat SMK Sains Rembau juara keseluruhan DIY Made Simple 2019 - Best Of Waste.
Fazurawati Che Lah


BUDAYA lakukan sendiri (DIY) mampu mengasah kemahiran hidup pelajar untuk lebih kreatif.

Ia dilihat penting kerana dapat melatih diri pelajar supaya lebih berdikari dan melancarkan urusan harian.

Apatah lagi, proses DIY juga membantu pelajar berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif untuk bersaing dalam dunia yang serba mencabar masa ini.

Bagi memastikan pelajar didedahkan dengan budaya DIY, peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia MR DIY dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) terus komited mencungkil bakat pelajar di seluruh Malaysia melalui pertandingan reka cipta DIY Made Simple.

DIY Made Simple yang memasuki tahun ketiga bekerjasama dengan UM menjadi satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) utama MR DIY.

Bertemakan Best of Waste, pelajar perlu membuat projek DIY dengan mengg

unakan barangan terpakai untuk menambah baik dan membaik pulih kemudahan di sekolah masing-masing.


SHOES Stander boleh diangkat dan diletakkan di atas meja untuk susunan buku.

Pada tahun ini, 47 penyertaan dari sekolah di seluruh Malaysia diterima DIY Made Simple dan hanya 10 sekolah mara ke peringkat akhir.

Pertandingan kali ini menyaksikan Sekolah Menengah Sains (SMS) Rembau, Negeri Sembilan merangkul gelaran juara dengan penghasilan produk Shoes Stander, sekali gus membawa pulang wang tunai RM4,500, piala dan sijil penyertaan.

Ketua projek Shoes Stander, Mohamad Harith Saharudin, 16, berkata, penyertaan pertandingan itu mampu membuka minda pelajar untuk proses kreativiti DIY yang dapat diperluaskan selaras Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Katanya, DIY Made Simple mendidik pelajar untuk menjaga alam sekitar menggunakan bahan terpakai untuk dikitar semula dan dijadikan alatan yang memberi manfaat kepada semua.

“Dalam pertandingan ini, kami perlu menggunakan barangan yang tidak boleh diperbaharui termasuk plastik. Bagi projek ini kami menggunakan botol sabun basuh baju 10 liter untuk dijadikan rak kasut pelbagai guna,” katanya.

Mohamad Harith berkata, lima prototaip dibentuk untuk menghasilkan rak kasut mudah alih yang memakan masa hampir sembilan minggu untuk disiapkan.

Katanya, prototaip satu dan dua menggunakan botol mineral lima liter, tetapi mereka berdepan masalah pengukuhan serta tidak tahan lasak disebabkan lapisan botol yang nipis.

“Kami menukar pula kepada botol sabun basuh baju 10 liter dengan membentuk bekas boleh memuatkan kasut, buku, atau barangan lain yang mana bekas itu akan dilekatkan di sebatang kayu supaya boleh diangkat untuk kegunaan lain,” katanya.


SHOES Stander turut diletakkan di surau.

Sementara itu, rakannya, Iman Suraya Harman Shah, 16, berkata, penyertaan dalam pertandingan itu mengasah bakat praktikal DIY kerana didedahkan dengan peralatan untuk pembuatan produk.

“Budaya DIY dapat merangsang minda pelajar berfikir dengan lebih kreatif dan aras pemikiran mereka lebih tinggi bersesuaian dengan aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dijalankan di sekolah pada masa ini.

“Banyak teknik yang kami belajar daripada proses ini selain berkongsi idea dan kebolehan,” katanya.

Terdahulu, MR, DIY dan UM menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi meneruskan kerjasama strategik melalui penganjuran pertandingan reka cipta DIY Made Simple untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Pengerusi MR. DIY, Datuk Azlam Shah Alias berkata, kerjasama itu ialah bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang memiliki kemahiran DIY.

“UM adalah platform terbaik untuk kami dekati masyarakat terutama pelajar, di samping mencungkil bakat mereka dalam usaha melahirkan pemimpin masa hadapan yang serba boleh dan mempunyai kemahiran DIY.

“Selain membuka peluang kepada pelajar sekolah menyertai program ini, ini masanya untuk mereka mengasah bakat praktikal DIY yang menggabungkan elemen sains, kejuruteraan, perniagaan, belajar daripada perancangan awal sehingga penghasilan produk akhir menggunakan alatan seperti mesin sanders, gerudi tanpa wayar dan barangan yang ada di MR. DIY,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah UM, Prof Dr Rofina Yasmin Othman berkata, pada tahun ini pertandingan mengetengahkan skop lebih luas dan diharap dapat dibawa ke peringkat kebangsaan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan serta mampu memberi impak lebih besar bagi mewujudkan pergerakan DIY.

“Di Asia sendiri, kita kurang tekankan kemahiran DIY ini sedangkan di kebanyakan negara maju, perkara ini sudah lama dipraktikkan. Sebenarnya banyak yang kita boleh buat sendiri melalui barangan terbiar, terpakai dan terlebih kerana ia mampu menjimatkan kos isi rumah dan kos sara hidup masyarakat setempat,” katanya.


BOLEH digunakan untuk menanam pokok bunga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 11:33 AM