NAIB Canselor WUC, Prof Datuk Dr Shohaimi Abdullah (kanan) bertukar dokumen MoU dengan Pengarah Urusan Agni Interactive Gaming Solutions Pvt Ltd, Mahesh Siripurapu.
Fazurawati Che Lah


SERAMAI 287 graduan Widad University College (WUC) menerima sijil masing-masing bagi program Ijazah Sarjana Muda dan diploma pelbagai bidang pengajian pada majlis Istiadat Konvokesyen Widad University College kali ketujuh, baru-baru ini.

Sebanyak empat anugerah khas disampaikan kepada mahasiswa cemerlang yang dinilai melalui aspek pencapaian akademik, kokurikulum dan kepemimpinan ketika mengikuti pengajian di WUC.

Anugerah Khas Canselor dianugerahkan kepada penuntut Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, Muhammad Luqman Mohd Faisol, 26, dari Fakulti Perubatan yang cemerlang dalam pencapaian akademik serta aktif dalam aktiviti kepemimpinan.

Antaranya ialah Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Presiden Pembina dan aktivis I-Medik Pahang yang giat menjalankan program kesihatan serta kemasyarakatan.

“Kejayaan hari ini menebus kekecewaan saya kerana tidak dapat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Mansoura, Mesir, kira-kira tujuh tahun lalu kerana krisis yang melanda negara itu.

“Saya hanya sempat belajar untuk dua semester, tetapi sebaik ditawarkan menyambung pengajian di sini, saya bangkit dan mahu buktikan terbaik,” katanya yang kini menjadi doktor pelatih di Hospital Teluk Intan, Perak.

Sementara itu, Anugerah Khas Kepimpinan pula disampaikan kepada Wan Mohammad Nazri Wan Mat, 26, yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar bagi tahun 2018.


WAN Mohammad Nazri

Wan Mohammad Nazriyang mengikuti program pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) bukan sahaja mempunyai nilai kepemimpinan yang tinggi, malah membuatkan dirinya mudah didekati pelajar lain.

Memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Widad University College bagi tempoh dua penggal berturut-turut dari 2015 hingga 2018 melayakkannya tersenarai dalam Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan juga merangkap Ketua Mahasiswa IPTS di Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan.

“Sebagai seorang pemimpin, saya sedaya upaya mahu menjadi contoh terbaik kepada pelajar lain dan mendidik mereka untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Istiadat konvokesyen itu disempurnakan Pro Canselor WUC, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.

Muhammad Ikmal dalam ucapannya menyatakan, WUC perlu bergerak sebagai pusat hab kecemerlangan pengajian tinggi pada peringkat antarabangsa.

Katanya, ini dibuktikan dengan kejayaan demi kejayaan dan pengiktirafan yang diterima melalui kerjasama yang dijalankan secara bersama dengan beberapa universiti di luar negara terutama membabitkan program pengajian dalam bidang perubatan, kejururawatan, sains kesihatan bersekutu, paramedik dan teknologi maklumat.

Terdahulu, majlis istiadat konvokesyen turut menyaksikan lima pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara WUC bersama Malaysian Caregiver Association, EBM International Sdn Bhd, Widyatama University, Agni Interactive dan Applied Cognition Systems, India.


MUHAMMAD Luqman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 11:37 AM