PESERTA bersama penuntut UTP selepas program tamat.

GAMELAN Symphony Festival 2.0 lebih dikenali sebagai GSF 2.0 yang diadakan di Kolej Sultan Islam Alam Shah (KISAS), Selangor, baru-baru ini, berjaya mendidik 200 pelajar untuk mencintai keunikan dan keindahan muzik tradisional itu.

GSF 2.0 dianjurkan 23 penuntut dari kejuruteraan Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar, Perak itu turut memukau lebih 500 penonton yang hadir.

Ketua program, Muhammad Fakhri Saadon berkata, GSF yang diadakan buat kali kedua itu bertujuan memberi pendedahan serta galakan kepada pelajar dan juga masyarakat mengenai keunikan serta keindahan muzik tradisional gamelan yang semakin luput.

“Festival ini juga menjadi pentas kepada pelajar sekolah untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang muzik tradisional gamelan.

“Mereka boleh mempamerkan kreativiti dan inovasi melalui aktiviti seni kebudayaan seperti ini,” katanya yang juga pelajar tahun ketiga kejuruteraan mekanikal itu.

GSF 2.0 berjaya mengumpulkan pelajar dari lapan sekolah iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, Pahang; MRSM Felda Trolak, Sungkai, Perak; MRSM Lenggong, Perak; MRSM Terendak, Melaka; Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak, Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Petaling, Kuala Lumpur; KISAS dan Asrama Yayasan Selangor, Klang.

Karnival GSF 2.0 tampil memukau penonton apabila kumpulan Gemawan Nur Utama, KISAS, membawa keistimewaan dalam persembahan melalui lagu Mersik Mentari yang dihasilkan sepenuhnya guru mereka berjaya menyerlahkan konsep gamelan Bali.

Malah karnival itu juga bertambah meriah apabila semua kumpulan menyerlahkan bakat dan keunikan persembahan masing-masing dalam menyampaikan muzik gamelan berkenaan.

Muhammad Fakhri berkata, kekuatan persembahan mereka dapat dirasai penonton melalui gerak tari, emosi dan tenaga dalam menggambarkan penceritaan istimewa bagi lagu kontemporari serta tradisional yang mereka mainkan.

“Festival ini turut dihangatkan lagi oleh persembahan istimewa daripada kelab rasmi Gamelan UTP, Sanggar Kirana dengan lagu Madah Teruna yang digubah oleh Teuku Umar Ilany dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Secara keseluruhannya, semua peserta festival sangat berpuas hati dan bangga dengan persembahan yang mereka sampaikan. Mereka juga berharap festival ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan,” katanya.

Festival itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 12:14 PM