SUKARELAWAN UiTM bersama penuntut YRU.
Oleh Fazurawati Che Lah


Pergolakan yang berlaku di wilayah selatan Thailand, Yala, tidak mematahkan semangat 13 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor untuk menjalankan khidmat sosial bersama penuntut Yala Rajabhat Universiti (YRU), Thailand.

Matlamat utama kunjungan itu untuk memperkenalkan dan berkongsi nilai keunikan bahasa dengan cara yang mudah serta betul.

Sesi pembentangan dan bertukar pandangan antara YRU dengan UiTM diteruskan dengan memperkenalkan modul pantun, sajak, pertukaran bahasa dan modul pertukaran bahasa (bahasa Melayu, Thailand serta Inggeris).

Perkongsian itu menarik perhatian mahasiswa YRU apabila menunjukkan minat yang tinggi terhadap modul yang dipersembahkan kepada mereka.

Penuntut program Pendidikan Bahasa Melayu YRU, Suraiya Hamalog, berkata perkongsian ilmu antara kedua-dua universiti itu membuka mindanya berkenaan bahasa yang pelbagai sama ada di pedalaman atau bandar kerana mempunyai nilai keunikan tersendiri.

“Saya tidak sangka akan mempelajari benda baharu iaitu cara berpantun dan bersajak dengan betul.

“Melalui sesi itu, saya dan rakan berjaya membina satu rangkap pantun. Pendekatan ini sangat menarik dan memberi pengalaman baharu kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Delima UiTM, Mohamad Azmi Adnan, berkata khidmat bakti diteruskan kumpulan penuntut itu ke perkampungan Islam Ban Phan untuk membina sudut bacaan bagi kemudahan anak-anak di perkampungan berkenaan.

“Sudut bacaan turut ditambah dengan bahan bacaan dan buku aktiviti, selain menyumbangkan enam naskhah al-Quran serta Iqra’ untuk digunakan kanak-kanak dan penduduk bagi aktiviti keagamaan di surau ini.

“Objektif program ini tercapai sepenuhnya apabila mahasiswa dari Kolej Kediaman Delima dapat menaburkan bakti dan mencurahkan keringat menghasilkan suatu pembaharuan yang dapat dilihat dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Aktiviti mengecat bahagian luar bangunan sudut bacaan itu turut dilakukan bagi menceriakan bangunan itu, selain melakukan gotong-royong bersama penduduk.

Kanak-kanak di perkampungan itu turut diajar membaca oleh sukarelawan bagi meningkatkan penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira) serta diajar mengaji.

Katanya, sifat kesukarelawanan ditonjolkan mahasiswa melalui khidmat sosial itu mampu melahirkan penuntut yang intelektual dan mempunyai nilai kemahiran insaniah yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 10:35 AM