BARISAN penyelidik MSU yang menyertai Pecipta 2019.
Oleh Fazurawati Che Lah


Kumpulan penyelidik Management and Science University (MSU), Shah Alam, Selangor meraih dua pingat emas, lima perak serta empat gangsa pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta ‘19) yang berlangsung di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

Dua produk reka cipta inovasi penyelidik MSU yang berjaya merangkul pingat emas ialah AkuaRiz Gamat Extract (kategori Pengkomersialan, kluster Health, Medical, Pharmaceutical, Food & Supplement) oleh Dr Nurzafirah Mazlan.

Satu lagi ialah Future Vision: Smart and Affordable Technologies for Blindness and Vision Impairment People (kategori Inovasi, kluster Education, Community Development Social Innovation) oleh Dr Safaa Najah Saud Al-Humairi.

Pingat perak dimenangi penyelidik, Mohd Hairulnizam Ibrahim menerusi ciptaan MSU Mycoral Underwater Escape, manakala Dr Muhd Ridzuan Pauzi melalui Dermacol (Inovasi dan Pitching); Dr Falah Younis Hamode (New Cellular Automation Based Method for Driver Assistance to Auto Search Available Slots in Indoor and Outdoor Parking Areas); Dr Nurul Hazwani Shamsudin (T-Rex the Explorer); dan Shahrizal Idzuan Wahab Abdul Rahman menerusi ciptaan Tiles.

Pingat gangsa pula diraih Muhammad Ilyas Nadeem menerusi ciptaan Kinetic Synchronization Sensory Walking Mat (KiSyn W Mat); Dr Zurida Ishak melalui Secured Access to Residence Elevator Using Fingerprint; Nurfatin Atikah Kamarudin, Circus of Speech dan Profesor Madya Dr Ooi Boon Keat menerusi Cogency.

Program setiap dwitahunan berkenaan dianjurkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara bersama rakan institusi sejak 2001.

PECIPTA bermatlamat untuk menjadi platform kepada Institusi Pendidikan Tinggi sama ada di Malaysia mahupun antarabangsa bagi mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi produk serta perkhidmatan masing-masing untuk dimanfaatkan industri dan masyarakat.

Malah Pecipta ‘19 edisi ke-10 bertemakan Innovation Beyond Imagination itu diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat.

Acara kali ini membabitkan penyertaan 458 inovasi dari pelbagai institusi dengan mempertandingkan lima kategori utama iaitu fundamental, inovasi, pengkomersialan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta keperluan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 11:38 AM