SEBAHAGIAN kanak-kanak Orang Asli yang terbabit dalam program itu.
Fazurawati Che Lah


PENDUDUK Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun dan Kampung Melayu di Pulau Carey, Banting, Selangor diraikan dengan penuh meriah apabila dikunjungi sekumpulan mahasiswa dari Kolej Mawar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Kehadiran mereka adalah untuk menjayakan program sukarelawan kolej kediaman iaitu Helping Hand.

Pengarah Program, Nur Hamizah Zaki berkata, program itu bertujuan untuk mendedahkan masyarakat Orang Asli berkaitan kepentingan pendidikan, kesihatan, kebersihan dan keselamatan.

Selain itu, katanya, program itu juga untuk mewujudkan interaksi dan hubungan yang erat antara penuntut dengan masyarakat Orang Asli.

“Pelbagai aktiviti menarik dilakukan bersama penduduk kampung yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Antaranya aktiviti sukaneka bagi kanak-kanak, demonstrasi pertolongan cemas daripada Teratai Medical Team, gotong-royong dan mengecat balai rawatan.

“Selain itu sumbangan barang keperluan oleh Pertubuhan Asnaf Seksyen 7 turut diserahkan kepada penduduk Orang Asli, di samping acara cabutan bertuah,” katanya.

Seramai 40 peserta terdiri daripada pelajar Kolej Mawar dan Teratai Medical Team menyertai program itu.

Program oleh jawatankuasa perwakilan Kolej Mawar itu mendapat kerjasama daripada Staf Residen Kolej, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pertubuhan Asnaf Seksyen 7, Jabatan Kemajuan Orang Asli serta beberapa pihak lain.

Acara bertambah meriah apabila MKN meneruskan tayangan filem Paskal yang dipertontonkan kepada penduduk Orang Asli pada malamnya.

Tujuan utama tayangan berkenaan untuk mendidik dan menanam sifat cinta akan negara dalam diri penduduk.

Acara tayangan turut diselitkan dengan penyampaian hadiah kepada peserta yang mengikuti sukaneka, manakala pada akhir program itu, pegawai MKN tampil menyimpulkan tayangan filem dengan menyelitkan motivasi kepada penduduk dan peserta program Helping Hand.

Melalui program itu, penuntut dapat menyelami kehidupan harian masyarakat Orang Asli, di samping meningkatkan kemahiran sosial dan sifat tanggungjawab mahasiswa serta memperkemaskan kemahiran berkomunikasi bersama komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:42 AM