SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti forum pada program itu.
Oleh Fazurawati Che Lah


DEWASA ini bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) semakin mendapat tempat dalam negara ini apabila pelbagai usaha dilakukan untuk memperkasakan industri TVET itu sendiri.

Selain kerajaan dan agensi di bawahnya, program pembangunan TVET turut dilaksanakan pihak swasta dengan menawarkan latihan meliputi pelbagai bidang serta disiplin.

Seiring perkembangan itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang bernaung di bawah Kementerian Sumber Manusia giat membangunkan pelbagai Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) untuk memastikan bidang pengajian TVET mendapat pengiktirafan bukan saja oleh pemain industri di negara ini, tetapi juga antarabangsa.

Melihat kepentingan TVET, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2 dengan kerjasama JPK Sarawak menganjurkan Karnival Kemahiran Sarawak sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan muda khususnya mahasiswa berkaitan bidang TVET.

Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Madya Dr Firdaus Abdullah berkata, institusi pendidikan itu menyahut cabaran berkenaan dengan memperkenalkan pelbagai kursus kemahiran berbentuk TVET untuk disertai penuntut.

“Kami menggalakkan mereka mengikuti kursus kemahiran sebagai sijil kedua yang akan menjadi nilai tambah kepada bidang pengajian akademik diikuti di kampus sebagai persediaan mereka melangkah ke alam pekerjaan selepas tamat pengajian kelak.

“Malah kami mahu mahasiswa ini menjadi modal insan yang bukan saja mampu bersaing untuk merebut peluang pekerjaan, tetapi juga menjadi penyumbang kepada pembangunan pelbagai sektor industri di negara ini,” katanya ketika berucap pada karnival yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah JPK, Suimi Abd Majis.

Sementara itu, Suimi turut melancarkan NOSS bagi Industri Pendidikan Muzik di Malaysia yang berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Muzik ini sangat luas pengertiannya dan ia antara bidang pendidikan yang semakin mendapat permintaan tinggi di negara ini.

“Oleh itu, penting untuk memastikan sistem pendidikan ini mempunyai standard yang akan membolehkan ia mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi dan diperakui semua pihak termasuk di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, NOSS dalam pendidikan muzik baru dilancarkan itu menyasarkan tenaga pengajar dalam bidang terbabit agar mereka memperoleh sijil pengiktirafan berkaitan kemahiran mereka yang boleh digunakan sebagai kelayakan dalam bidang kerjaya.

“Kita tahu semua tenaga pengajar dalam bidang muzik sememangnya sudah mahir dan pakar, tetapi tidak semua daripada mereka mempunyai sijil yang mengiktiraf kemahiran dimiliki itu.

“Menerusi NOSS, mereka hanya perlu mengikuti kursus jangka pendek di pusat latihan dilantik dan akhirnya memperoleh sijil pengiktirafan yang boleh digunakan untuk membuktikan kemahiran mereka dalam bidang muzik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 10:06 AM