PENUNTUT MSU College yang menjayakan MSU College My Kampung @ Pulau Tuba.
Oleh Fazurawati Che Lah


PROGRAM jalinan komuniti perdana anjuran MSU College, Shah Alam, Selangor di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah berjaya mendedahkan matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam kalangan penduduk melalui pelbagai projek yang dijalankan.

Program berkenaan, MSU College My Kampung @ Pulau Tuba sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap matlamat SDG yang memfokuskan kelestarian serta kesejahteraan sejagat yang memberi manfaat kepada kumpulan sasar terbabit.

Malah program selama empat hari disertai 430 penuntut menjadi platform terbaik kepada peserta untuk memantapkan kemahiran insaniah, selain menimba pengalaman baharu yang cukup bermakna.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah My Kampung Angkat, My Kampung Trail Run-Tuba, My Kampung Kenduri, My Kampung Mangrove, My Kampung S.E.Y.E.S. (Ternakan Ayam Kampung), My Kampung Kids Eco Friendly, My Kampung Tree for Life, My Kampung Trash Hero, My Kampung Home Deco, My Kampung Aqua Nature dan My Kampung Qiraat.

Menerusi My Kampung S.E.Y.E.S. (Social Empowerment for Young Entrepreneurial Skills) menyaksikan kerjasama antara MSU College Shah Alam dengan Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad dalam menjalankan projek keusahawanan ternakan ayam kampung.

Sebagai permulaan, MSU College Shah Alam menyumbang 200 anak ayam kampung untuk diternak dan diusahakan penduduk setempat serta dipasarkan di sekitar Langkawi.

Keseluruhan aktiviti yang dijalankan antara lain adalah selari dengan matlamat SDG iaitu G1: Tiada Kemiskinan; G2: Kelaparan Sifar; G3: Kesihatan dan Kesejahteraan; G4: Pendidikan Berkualiti; G9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur; G14: Kehidupan Dalam Air serta G15: Kehidupan Di Darat.

Dalam menjayakan program itu, MSU College Shah Alam turut mendapat kerjasama dan sokongan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 11:50 AM