PROGRAM Teknologi Makmal Perubatan MSU College mengikut modul terkini.
Oleh Fazurawati Che Lah


TEKNOLOGI Makmal Perubatan (MLT) ialah bidang ilmu sains dan amalan penyelidikan makmal yang digunakan untuk membantu dalam proses diagnosis dengan menganalisis serta mentafsir keputusan, menentukan punca penyakit, cara kawalan serta penyembuhan.

Kerjaya ini sangat menarik dan mencabar khususnya bagi mereka yang mempunyai minat mendalam berkaitan teknologi sains gunaan.

Malaysia turut menyaksikan permintaan yang semakin meningkat terhadap karier dalam bidang itu.

Peluang kerjaya dalam bidang ini ditawarkan di pelbagai institusi termasuk hospital awam dan swasta, jabatan kesihatan awam, pusat rawatan, klinik haiwan, makmal radioisotop, makmal penyelidikan patologi, jabatan pembangunan farmaseutikal, universiti dan bidang perubatan forensik.

Bagi memenuhi keperluan bidang itu, MSU College menawarkan program Diploma MLT dengan kombinasi struktur pengajian yang komprehensif dan mengikut sukatan modul terkini.

Melalui tempoh pengajian selama tiga tahun, penuntut mempelajari pelbagai perkara baharu termasuk cara menjalankan ujian makmal dan analisis data dilengkapi pengetahuan teori meluas serta kemahiran praktikal selaras keperluan industri perubatan moden.

Graduan program itu seterusnya berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Bacelor di Management and Science University (MSU) menerusi Faculty of Health and Life Sciences (FHLS).

Bagi yang berminat untuk meneruskan pengajian dalam bidang kedoktoran boleh memohon untuk melanjutkan pengajian dalam program Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery (MBBS) ditawarkan MSU menerusi International Medical School (IMS) di kampus Shah Alam, Selangor atau kampus pesisir pantai di Bangalore, India.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 12:01 PM