HARI terakhir persekolahan dinantikan pelajar.
Oleh Fazurawati Che Lah


MINGGU ini bermulalah cuti panjang bagi pelajar sekolah. Cuti hujung tahun menjadi antara yang dinantikan sejak sesi persekolahan dibuka awal Januari lalu.

Cuti yang panjang sudah tentu memerlukan perancangan agar dapat diisi kegiatan bermanfaat bagi memastikan pelajar tidak membuang masa dengan perkara sia-sia.

Seiring itu, sudah menjadi trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebaik tiba musim cuti sekolah, kebanyakan ibu bapa akan menghantar anak ke kem motivasi dan yang seumpamanya kerana mahu memberi ilmu dan pengalaman baharu yang akan mengubah serta meningkatkan nilai diri mereka.

Bagi guru, Norol Huda Yusof, 38, dari Subang Perdana, Shah Alam, Selangor, dia memilih menghantar anak ke mana-mana program pada musim cuti bagi memberi peluang dan pendedahan berkaitan ilmu baharu yang tidak diperoleh di sekolah.

Katanya, dua anaknya iaitu Iman Irdina Muhamad Amin Fahmi, 10, dan Aiman Naufal, 9, dihantar ke program cuti sekolah sejak mereka berusia tujuh tahun.

“Anak gembira dan teruja kerana mereka akan memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu seperti memanah, menunggang kuda serta amalan fardu ain.

“Saya mendapati perkembangan anak juga semakin baik. Mereka menjadi lebih kreatif dan lebih berkeyakinan apabila berada di khalayak ramai,” katanya.

Norol Huda memberitahu, dia akan memperuntukkan sejumlah RM300 seorang untuk menghantar anak mengikuti program cuti sekolah,

“Saya menggalakkan ibu bapa membelanjakan sedikit wang untuk memberi pendedahan kepada anak membuat aktiviti yang mereka suka kerana bermanfaat untuk pengalaman dan pengetahuan baharu,” katanya.

Kewujudan media sosial sedikit sebanyak membantu ibu bapa mendapat maklumat dengan cepat mengenai program pada cuti sekolah, malah bagi ibu bapa yang bekerja dan buntu memikirkan tempat untuk meletakkan anak bagi pengawasan sepanjang cuti sekolah mendorong mereka berbuat demikian.

Bagi jururawat dari Alor Setar, Nurul Azwani Abu Bakar, 33, dan suami, Nik Mohd Iqbal Zulkafli, 35, memilih menghantar anak mereka berusia empat tahun ke program yang boleh merangsang sensorinya.

“Selepas meneliti pelbagai aktiviti program sempena cuti sekolah ini, saya dan suami membuat keputusan menghantar Nik Nur Ardiana Kamelia ke program yang bukan berbentuk akademik dan tidak memerah fikirannya.

“Bersesuaian dengan umurnya, kami pilih program yang dia suka bukannya kami suka. Keputusan hantar Nik Nur Adriana ke program berbentuk aktiviti kanak-kanak ini adalah untuk membina keyakinan dan mencungkil bakatnya,” katanya.

Sementara itu berdasarkan laporan berita, kes kecederaan dan kemalangan banyak membabitkan kanak-kanak pada musim cuti sekolah, perhatian daripada ibu bapa penting bagi memastikan keselamatan anak sentiasa diawasi.

Perkara itu diakui Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Perdana Jaya SS19, Subang Jaya, Shahrul Nizam Rosli yang menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak kerana malang tidak berbau.

“Misalnya dalam merancang bercuti, seharusnya ibu bapa mengambil peranan yang lebih untuk membuat perancangan sebelum, semasa dan selepas.

"Untuk fasa sebelum bercuti, ibu bapa perlu tahu kemampuan mereka sendiri sebelum membuat keputusan memilih tempat percutian termasuk beberapa faktor lain perlu diambil kira seperti keadaan cuaca, iklim, keadaan politik dan sebagainya,” katanya.

“Ambil peluang musim cuti kali ini untuk lebih banyak berinteraksi secara terus sesama ahli keluarga, selain melakukan aktiviti bersama,” katanya.

Sementara itu, guru Matematik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Abu Bakar Baginda, Bandar Baru Bangi, Selangor, Juliawati Sakiman, berkata memanfaatkan cuti sekolah dengan perancangan teliti boleh menguntungkan pelajar terutama mereka yang bakal menghadapi peperiksaan besar tahun depan.

“Mereka boleh menghadiri kelas tambahan anjuran pusat tuisyen. Terdapat pusat tuisyen yang menawarkan harga menarik kepada pelajar sebagai langkah promosi.

“Pelajar juga boleh memanfaatkan penggunaan teknologi dan kemudahan Internet untuk mengulang kaji pelajaran kerana guru menyediakan latihan melalui Google Classroom sebagai latihan sepanjang cuti sekolah di rumah,” katanya.

Katanya, pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar juga boleh mendapatkan set koleksi soalan peperiksaan tahun sebelum ini dan cuba menjawab supaya dapat membiasakan diri dengan format soalan peperiksaan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 12:13 PM