SK Sri Kelana membolot hampir semua kategori yang dipertandingkan.
PEMENANG kategori sekolah menengah.
Fazurawati Che Lah


SEKOLAH Menengah Kebangsaan Perempuan (SMKP) Sri Aman dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana, masing-masing dari Petaling Jaya, Selangor muncul juara Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah dan Tadika Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

SMKP Sri Aman berjaya mengumpul 11,000 kilogram barangan terbuang manakala SK Sri Kelana pula 10,000kg.

Kejayaan itu membolehkan dua sekolah berkenaan membawa pulang wang tunai RM1,400 dan sijil penyertaan.

Guru penyelaras, Nor Hafizah Md Amran berkata, kejayaan itu menebus kegagalan SMKP Sri Aman pada tahun lalu apabila hanya meraih tempat keempat.

Katanya, kelewatan sekolahnya mengikuti program itu punca kegagalan mereka dalam pertandingan pada tahun lalu.

“Sekolah kami sudah lama menjalankan program kitar semula melalui kelab Eco Rangers kira-kira 10 tahun lalu yang dibahagikan mengikut rumah sukan.

“Tujuan utama kelab itu ditubuhkan memang untuk mendidik pelajar dengan amalan kitar semula. Sekolah menyediakan tong sampah khas mengikut kategori barangan buangan dan pelajar disarankan membawa surat khabar, barang elektronik, bekas kotak minuman, plastik dan pelbagai barangan terbuang untuk dikumpul

serta dijadikan barang kitar semula,” katanya.

Nor Hafizah memberitahu, usaha sekolah untuk mendidik pelajar mengenai kepentingan kitar semula menunjukkan peningkatan apabila warga sekolah mula menunjukkan kesedaran.

“Bagi pertandingan ini, kami menganggarkan purata kutipan setiap pelajar sebanyak 16.3kg.

“Semua barangan kitar semula berjaya dikumpulkan untuk tempoh enam bulan pertandingan yang bermula Mac,” katanya.

Sementara itu, SK Sri Kelana membolot tiga kategori kutipan tertinggi yang dipertandingkan, selain juara kategori sekolah rendah.

Sk Sri Kelana mendapat tempat pertama bagi kategori kutipan plastik tertinggi, kutipan bekas kotak minuman tertinggi dan kutipan styfoam tertinggi.

Pertandingan kitar semula itu mendapat kerjasama Fraser Neave Holdings Bhd (F&N).

Bagi pertandingan kali ini, lima kategori pertandingan diperkenalkan iaitu kategori kutipan plastik tertinggi, kutipan bekas kotak minuman tertinggi, kutipan styfoam tertinggi, kutipan aluminium tertinggi dan kutipan e-waste tertinggi.

Malah pertandingan kali ini menyaksikan 98,320.3kg berjaya dikumpul bermula 1 Mac hingga 31 Ogos lalu yang membabitkan 27 sekolah dan tadika daerah Petaling Jaya, sekali gus kutipan itu meningkat empat kali ganda berbanding jumlah dikumpul tahun lalu sebanyak 27,269.3 kg.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, pertandingan yang memasuki tahun kedua itu bakal menyaksikan MBPJ menjimatkan RM2.5 juta setahun, yakni kos pelupusan sampah yang dibelanjakan pihaknya berbanding RM8.5 juta sebelum ini.

Beliau berkata, dengan adanya program seperti itu, MBPJ dapat membantu pihak sekolah memberi kesedaran kepada murid betapa pentingnya usaha menjaga alam sekitar dan melakukan aktiviti kitar semula.

“Program ini juga membantu pihak sekolah dalam mengumpul dana sekolah iaitu hasil jualan barangan kitar semula itu dimasukkan ke dalam tabung sekolah,” katanya.

Pertandingan itu juga menyaksikan Orange Tree Academy muncul juara bagi kategori tadika dan membawa pulang wang tunai bernilai RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 10:47 AM