SESI fotografi peserta bersama Sharizman (barisan kedua dari bawah, lima dari kiri) dan Yap (tujuh dari kiri).
hmdigital

KANAK-KANAK berusia enam hingga 14 tahun gembira menyertai University Community Engagement (UCE): I Can See Your Kick: Born to be a Fighter yang memberikan mereka pendedahan mengenai seni mempertahankan diri iaitu taekwando.

Program anjuran Unit Kokurikulum Taekwando di bawah naungan Pusat Kokurikulum Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor itu turut mendapat kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh dan Kelab Taekwando Koryo.

Penasihat Unit Kokurikulum Taekwando, Sharizman Riduan, berkata acara yang diadakan di dewan SK Seri Pristana itu menarik kira-kira 50 peserta yang dimulakan dengan sesi Ice-Breaking dan pembahagian kumpulan.

Katanya, taekwando ialah seni tempur untuk mempertahankan diri dan sebagai langkah keselamatan.

“Fokus dalam taekwando ialah fleksibiliti. Maka aktiviti yang membabitkan gerak badan fleksibiliti seperti split dan spider dijalankan.

“Urus setia yang terdiri daripada penuntut UiTM ini turut mengajar kanak-kanak mengenai beberapa pergerakan yang penting dalam sesuatu pertempuran atau sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Katanya, acara turut diisi dengan program ceramah daripada Ketua Teknikal dan Sokongan KPNP Malaysia, Yap Lian Tat mengenai bengkung elektronik taekwando (PSS) yang menggunakan teknologi canggih.

“Kegunaan bengkung PSS ini adalah untuk menggalakkan ketelusan dan keadilan semasa pertandingan

apabila sensor pada bengkung dapat mengesan tendangan diterima daripada pihak lawan.

“Peserta turut diberikan peluang memakai bengkung PSS, sekali gus mengujakan mereka kerana pertama kali mencuba bengkung ini,” katanya.

Pengalaman peserta dalam program itu turut mendapat pengiktirafan apabila pemberian sijil penghargaan daripada pihak Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam kepada peserta pada akhir program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 10:53 AM