ISI tempoh tunggu keputusan SPM dengan perkara tak dapat dilaksanakan ketika persekolahan.
Fazurawati Che Lah


PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melabuhkan tirainya pada minggu lalu menyaksikan lebih 400,000 calon menduduki peperiksaan terbesar itu tahun ini.

Segala usaha dan keringat yang terbaik ditonjolkan setiap calon SPM. Kini, doa dan tawakal diutus supaya keputusan yang bakal diterima adalah cemerlang dan mampu membantu dalam mengorak langkah mencapai cita-cita diimpikan selama ini.

Sudah pasti majoriti calon SPM belum mempunyai perancangan tertentu sementara menunggu keputusan yang dijangka diumumkan pada Mac 2020.

Pengetua, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI), Perak, Naharudeen Othman, berkata lepasan SPM mempunyai pelbagai pilihan untuk melakukan aktiviti sementara menunggu keputusan peperiksaan.

Katanya, mereka boleh melakukan perkara menyeronokkan yang tidak dapat dilaksanakan di alam persekolahan dan tak membebankan ibu bapa.


MENGIKUTI kursus jangka pendek dapat menambah nilai kemahiran diri.

“Mereka boleh mengikuti pelbagai kursus kemahiran dalam tempoh jangka pendek seperti masakan dan hiasan dalaman.

“Kursus ini banyak ditawarkan kolej komuniti dan agensi atau individu berkaitan.

“Kursus ini biasanya memakan masa kira-kira dua atau tiga minggu saja, kemahiran yang diperoleh nanti sangat bermanfaat untuk kegunaan masa hadapan sebagai nilai tambah dalam diri pelajar itu,” katanya.

Katanya bagi meningkatkan kemahiran berkomunikasi, pelajar lepasan SPM juga boleh bekerja sambilan di kedai makanan segera atau kedai berjenama di pusat beli belah.

“Di situ mereka boleh mengasah kemahiran bercakap seperti cara menarik pelanggan supaya membeli produk yang dijual,” katanya.

Naharudeen turut menyarankan pelajar lepasan SPM menjadi sukarelawan dengan menjalankan kerja komuniti di rumah orang tua atau kebajikan dalam meningkatkan kemahiran insaniah.

Katanya, bagi pelajar yang tidak mahu bekerja, mereka boleh mengisi waktu terluang dengan mengikuti aktiviti kerohanian bagi membentuk keperibadian individu.


PELAJAR boleh mengambil upah mencuci dan mengemas rumah.

“Dalam tempoh lebih tiga bulan sebelum keputusan SPM diumumkan, pelajar boleh mengikuti kelas keagamaan di pondok agama atau tahfiz.

“Peluang yang ada ini boleh digunakan untuk mendalami agama dan al-Quran sekali gus membentuk keperibadian yang baik dan harmoni,” katanya.

Biarpun ramai kalangan lepasan SPM memilih bekerja sambilan, berbeza pula dengan remaja dari Puchong Perdana, Puchong, Selangor yang memilih bekerja dengan keluarga iaitu menguruskan perniagaan makanan dan katering.

Calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Perdana, Nuramisha Shafika Mohd Azmalizam, 17 pula mengakui sudah menjadi rutin setiap kali cuti sekolah dia akan membantu menguruskan perniagaan makanan milik keluarganya.

“Perniagaan katering yang diusahakan ibu dan ayah adalah legasi keluarga kami, dan sebagai anak saya juga bertanggungjawab mempelajari selok belok mengenainya.

“Setakat ini, saya ingin memanfaatkan masa dengan membantu dan mempelajari ilmu perniagaan daripada ibu serta ayah bagi memantapkan lagi pengetahuan berkaitan bidang makanan,” katanya.


NAHARUDEEN (depan) bersama pelajar .

Walaupun bercita-cita mahu menjadi peguam, pada masa sama Nuramisha Shafika juga mahu meneruskan perniagaan katering itu bersama adik- beradik yang lain.

Bagi Aimi Athirah Fadzlin Hafidz, 17, dari SMK Sungai Pasir Kecil, Sungai Petani, Kedah pula bakal mengikuti kelas memandu dalam tempoh terdekat.

Bercita-cita menjadi pensyarah, beberapa perancangan sudah disenaraikan anak gadis itu sebelum keputusan SPM dikeluarkan.

“Perancangan awal ialah menyelesaikan perkara asas dulu iaitu mengambil lesen memandu kerana selepas keputusan SPM diumumkan, saya akan kembali sibuk untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekiranya mendapat keputusan cemerlang.

“Jadi lebih baik saya selesaikan urusan lesen memandu lebih awal, malah tidak merugikan kerana pada masa sama saya tidak terlalu bergantung kepada ibu dan ayah untuk bergerak ke mana-mana dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Katanya, bagi menambah nilai kemahiran dan insaniah, dia turut bercadang mengikuti kelas Bahasa Inggeris bagi memantapkan bahasa kedua itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 11:09 AM