SUKARELAWAN mendirikan tiang untuk pemasangan lampu solar
Oleh Fazurawati Che Lah


PERJALANAN yang mencabar dan hanya boleh diakses dengan pacuan empat roda (4 x 4), tidak mematahkan semangat 28 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor untuk melaksanakan program komuniti bersama penduduk Orang Asli Pos Lemoi, Cameran Highlands, Pahang.

Projek dinamakan Lemoi Project adalah satu program besar dianjurkan Biro Kebajikan Orang Asli (Hikam) di bawah Sekretariat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) UIAM, yang berfokus membantu golongan Orang Asli di Pos Lemoi melalui pemasangan lapan lampu solar di kawasan penempatan itu.

Ketua Hikam, Anwar Khaled Muhamad berkata, program yang berlangsung selama empat hari itu mendapat sambutan baik daripada penduduk kampung hasil usaha sama dengan Blackwind Adventure Team dan pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi.

“Kumpulan kami memasuki Pos Lemoi bukan saja untuk menyempurnakan projek semata-mata, tetapi turut melaksanakan beberapa modul sampingan yang membantu akademik murid di SK Lemoi.

“Cuaca yang kurang baik tidak menjejaskan semangat komuniti malah semua modul dan lampu solar berjaya dipasangkan seperti yang dirancang,” katanya.

Katanya, bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat Orang Asli, pelbagai acara kenduri besar-besaran, ziarah dari rumah ke rumah dan perkongsian berkenaan Islam turut dilaksanakan.

Lemoi Project bakal dijadikan program tahunan bagi Sekretariat Perkim UIAM dan projek terbaharu akan dijalankan Februari tahun hadapan iaitu program Road to Expedition and Education (R.E.D) Lemoi 7.0.

Program itu bagi meningkatkan kebajikan penduduk Pos Lemoi dan juga menyelitkan objektif berlandaskan dakwah Islamiah kepada penduduk Orang Asli.

Sekretariat Perkim UIAM Gombak adalah antara persatuan kebajikan di bawah Pusat Jalinan Komuniti dan Perkhidmatan (CENSERVE) UIAM dan diselia Kelab Perkim Universiti (KPU).

Kelab ini memfokuskan tiga golongan sasaran iaitu golongan mualaf (Ikhwan Project), gelandangan (Laila Project) dan Orang Asli (Hikam Project).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 8:38 AM