Fazurawati Che Lah

“HAMPIR dua hari saya menahan lapar, sehinggalah satu malam tergerak menghubungi pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk memohon bantuan makanan.

“Syukur mereka melayan permintaan dan mencadangkan saya ke pusat Food Bank bagi mengambil sedikit makanan selepas diterangkan masalah dihadapi. Saya tidak akan lupa jasa mereka membantu saya yang sedang kelaparan,” kata penuntut mualaf universiti awam (UA) di ibu kota yang hanya mahu dikenali sebagai Firdaus.

Firdaus, 20, berkata, dia kehabisan wang belanja apabila ibu bapanya menyekat perbelanjaan kerana membantah memeluk agama Islam sejak dua bulan lalu.

Malah dia yang tidak membuat pinjaman pendidikan buntu ketika itu kerana perbelanjaannya di kampus ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa sejak menyambung pengajian di universiti itu setahun lalu.

Katanya, rutinnya kini dia akan ke Food Bank sekali seminggu untuk mengambil makanan seperti beras, gula, biskut, mi segera dan minuman untuk kegunaan tiga atau empat hari.

HAIRUL FAIZI ketika melihat barangan di Putra Food Bank.

“Alhamdulillah mereka memahami situasi saya. Penyelaras Food Bank juga sentiasa mengambil berat keperluan saya selain bantuan rakan.

“Sekarang saya kini menunggu kelulusan zakat daripada pihak universiti dan pada masa sama membuat kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Firdaus memberitahu, kewujudan Food Bank benar-benar membantu mahasiswa yang memerlukan bagi meringankan perbelanjaan untuk keperluan makanan.

Program Food Bank Siswa yang dilaksanakan di hampir keseluruhan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penuntut dalam usaha meringankan beban kos sara hidup mahasiswa sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Ia adalah kesinambungan program Food Bank Malaysia yang dilancarkan pada Ogos lalu dan memberi manfaat kepada 37,000 individu dari kumpulan B40 di seluruh negara.

PENUNTUT mengambil peluang mengambil makanan di Food Bank pada waktu rehat.

Food Bank Siswa digerakkan melalui dua kaedah, iaitu Food Pantry yang menyediakan bekalan makanan kering sebelum diagihkan kepada mahasiswa yang layak serta Central Kitchen iaitu kemudahan logistik seperti dapur untuk meletakkan bahan mentah yang selamat, namun tidak habis dijual di pasar raya.

Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, Hairul Faizi Hairul Nizam, 19, berkata, dia bersyukur kerana Putra Food Bank banyak meringankan keperluan makanan hariannya.

Katanya, perbelanjaan pengajian di UA itu ditanggung ayahnya dan setiap bulan RM300 diberikan termasuk untuk menampung keperluan makan dan minum.

“Dalam keadaan ekonomi dan harga makanan yang semakin meningkat, saya perlu berjimat dengan duit yang diberikan ayah serta memperuntukkan wang belanja kira-kira RM10 sehari.

“Sekiranya perbelanjaan harian terlebih, saya terpaksa mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung kepada roti untuk mengalas perut,” katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Dia bersyukur adanya Putra Food Bank di kampus itu dan sentiasa memanfaatkan kemudahan itu dengan mengambil barangan makanan pada setiap minggu untuk keperluan selama tiga atau empat hari.

“Food Bank ini juga mampu meringankan perbelanjaan terutama dalam menguruskan keperluan makanan,” katanya yang kini turut menjadi sukarelawan di Putra food Bank.

BARANGAN yang disediakan Food Bank berkualiti dan mempunyai tarikh luput.

Nurul Athirah Fatma Rusli, 21, yang menginap di luar kampus mengakui kewujudan Food Bank banyak membantu dia berjimat cermat untuk keperluan makanan.

“Apabila tinggal di luar kampus, perbelanjaan juga meningkat kerana perlu membayar sewa rumah, jadi untuk berjimat cermat saya memilih untuk memasak.

“Walaupun tiada bahan mentah seperti sayuran, daging atau ayam, sekurang-kurangnya menjimatkan duit poket saya untuk membeli keperluan asas seperti gula, tepung dan roti,” katanya.

Dia juga tidak meragui barangan yang dibekalkan Food Bank kerana kebanyakan keperluan itu berkualiti dan mempunyai tarikh luput.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 9:32 AM