SEKOLAH Kebangsaan (SK) Felda Kerteh 1, Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu. FOTO NSTP
SEKOLAH Kebangsaan (SK) Felda Kerteh 1, Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu. FOTO NSTP
Fazurawati Che Lah


PELBAGAI gelagat murid tahun satu mewarnai hari pertama sesi persekolahan 2020, minggu lalu.

Gelagat yang mencuit hati itu sekali gus mencuri lensa apabila ada yang menangis sebaik ditinggalkan ibu bapa, tidur dalam kelas, malah tidak kurang teruja berkenalan dengan rakan baharu.

Tidak terkecuali gelagat berbelanja di kantin turut menjadi tumpuan kerana pada usia begini, kebanyakan kanak-kanak ini belum pandai berbelanja atau mengira duit baki.

Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kerteh 1, Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu mempunyai pendekatan tersendiri dalam menangani situasi berkenaan.

Menurut guru besarnya, Razali Muda, pihak sekolah menjalankan program dikenali Minggu Transisi bagi memperkenalkan operasi jualan di kantin sebagai antara aspek penyesuaian diri di sekolah.

Katanya, guru kelas akan memantau murid tahun satu ketika berbelanja di kantin dan mereka juga akan diberitahu nilai harga barangan yang dijual dengan jelas.

“Sekolah turut membenarkan ibu bapa datang pada waktu rehat untuk hari pertama dan kedua persekolahan bagi membantu kanak-kanak ini membeli di kantin.

“Setakat ini, kerjasama antara guru, ibu bapa dan pihak kantin amat baik. Murid yang tidak dipantau ibu bapa juga tidak bermasalah ketika berbelanja di kantin kerana ada guru yang akan membantu mereka.

“Minggu Transisi ini akan dijalankan selama tiga minggu. Dalam tempoh ini kebiasaannya murid menjadi semakin cekap berbelanja selain dapat membiasakan diri dengan persekitaran sekolah,” katanya.

SUASANA hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kerteh 1, Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu. FOTO NSTP
SUASANA hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kerteh 1, Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu. FOTO NSTP

Katanya, seramai 105 murid darjah satu mendaftar di sekolah itu dan mereka dibahagikan kepada tiga kelas.

Razali turut berharap ibu bapa tidak perlu risau dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru untuk mengendalikan anak mereka kerana program Guru Penyayang turut dilaksanakan pada hari pertama persekolahan.

Seterusnya bagi memeriahkan sesi pembukaan sekolah pada tahun ini, Razali turut memakai kostum Zorro bersama seorang murid yang turut memakai kostum Spiderman.

“Hari pertama pada tahun ini agak meriah apabila rata-rata murid terhibur sebaik tiba di pekarangan sekolah kerana disambut oleh ‘adiwira.’

“Saya mencipta kelainan supaya dengan usaha ini bukan saja menaikkan semangat mereka, tetapi sekali gus mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa dan murid,” katanya.

Sementara itu, guru di SK Perdana Jaya SS19, Subang Jaya, Selangor, Abdul Aziz Shamsul Bahari, berkata kebiasaannya minggu kedua persekolahan murid tahun satu sudah mampu membiasakan diri dengan persekitaran sekolah.

Malah dia turut menyarankan murid tahun satu dibekalkan makanan seperti bento yang mampu memudahkan mereka ketika waktu rehat.

“Selalunya, murid darjah satu masih takut-takut untuk membeli makanan di kantin kerana tidak biasa dan tak tahu mengira wang.

“Apabila membawa bekal, mereka tidak perlu panik ketika membeli makanan. Ibu bapa juga diharapkan dapat membekalkan makanan yang sihat untuk anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 9:57 AM