X
Fazurawati Che Lah


DARI jauh, kelihatan sekumpulan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor sibuk melakukan imbasan suhu ke atas murid di pintu utama sekolah itu.

Pemeriksaan suhu itu dijalankan hampir setiap hari bagi memastikan warga sekolah berada dalam keadaan sihat untuk meneruskan aktiviti pembelajaran.

Usaha itu salah satu inisiatif sekolah untuk mencegah penularan wabak influenza yang sedang melanda negara.

Guru Besarnya, Khairul Anuar Abdul Azid berkata, guru mengambil masa satu jam untuk memeriksa semua murid sebelum loceng berbunyi.

Katanya, pemeriksaan suhu badan itu bagi mengenal pasti tahap kesihatan mereka dan mengesan murid yang demam.

“Tujuh guru iaitu Guru Penyayang, guru bertugas, pentadbir dan saya akan melakukan pemeriksaan suhu ke atas murid di pintu utama.

“Pemeriksaan yang dijalankan sejak dua minggu lalu ini berjaya mengesan murid yang demam dan memudahkan tindakan susulan dilaksanakan guru serta ibu bapa,” katanya.

PELAJAR beratur untuk imbasan suhu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PELAJAR beratur untuk imbasan suhu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Katanya, pemeriksaan suhu diadakan sebanyak dua sesi iaitu pada sesi pagi dan petang merangkumi 1,400 murid dari prasekolah sehingga tahun enam.

“Bagi sesi pagi, seawal jam 7 pagi guru sudah bersedia menyambut murid, sekali gus melakukan imbasan suhu sebelum dibenarkan ke kelas, manakala bagi sesi kedua pula untuk murid sesi petang, imbasan dilakukan pada jam 11.30 pagi.

“Dalam tempoh sesi imbasan itu, mana-mana guru yang berkelapangan akan bersembang dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak untuk menyampaikan maklumat pencegahan dan keperluan yang perlu dilakukan di rumah bersama anak,” katanya.

Katanya, guru di sekolah sentiasa memantau keadaan kesihatan murid bagi mengawal penularan wabak itu dan sekiranya terdapat tanda jangkitan, mangsa akan diasingkan sebelum guru menghubungi ibu bapa atau penjaga untuk membawa pulang murid bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

Tinjauan wartawan turut mendapati sekolah juga menyediakan cecair pembasmi kuman tangan di kantin untuk kegunaan murid, selain menyediakan penutup hidung dan mulut untuk pelajar yang didapati tidak sihat.

M Khalimi (kiri) menyerahkan topeng kepada murid sebagai langkah pencegahan.
M Khalimi (kiri) menyerahkan topeng kepada murid sebagai langkah pencegahan.

Selain usaha melaksanakan pemeriksaan suhu ke atas murid, sekolah turut bekerjasama dengan ibu bapa dengan memanfaatkan aplikasi WhatsApp untuk menyampaikan maklumat berhubung info terkini wabak influenza.

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah turut memainkan peranan dalam kes penularan wabak demam ini.

“PIBG juga melaksanakan kerja pembersihan di kelas yang muridnya didapati positif influenza, setakat ini, lima murid dikesan positif dan mereka dari tiga kelas berbeza,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) SK Kampung Tunku, Wan Huzaini Wan Hussin berkata, jawatankuasa PIBG bersama ibu bapa akan meneruskan aktiviti mencuci kelas menggunakan cecair antiseptik.

“Setakat ini, tiga kelas sudah dicuci pada Sabtu lalu dan akan diteruskan untuk semua kelas yang lain. Cucian bukan hanya pada lantai, tetapi semua peralatan perabot di dalam kelas berkenaan.

SEORANG murid menggunakan cecair pembasmi kuman tangan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SEORANG murid menggunakan cecair pembasmi kuman tangan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

“Ibu bapa, pencuci sekolah dan guru banyak memberikan kerjasama, selain guru sentiasa mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa memantau tahap kesihatan anak melalui WhatsApp pada sebelah malam,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK 1 Jalan Meru, Klang, Selangor, M Khalimi Dalhan berkata, sekolah melaksanakan tindakan fizikal dengan menyediakan penutup mulut dan hidung kepada lebih 200 murid.

Katanya, guru juga sentiasa memantau mana-mana murid yang mempunyai gejala selesema dan terus dirujuk ke pejabat sekolah untuk tindakan susulan rawatan.

“Setakat ini, tiada gejala influenza berlaku di sekolah ini, namun murid-murid sentiasa diingatkan supaya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dengan amalan kerap membasuh tangan menggunakan air bersih serta sabun atau pencuci tangan, selain mengamalkan adab batuk yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe