AKTIVITI seni pelajar turut dipantau. FOTO Faiz Anuar
Fazurawati Che Lah

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Sungai Melut, Sepang, Selangor menjadi sekolah pertama untuk Program #BASKL Lawatan Seni Sambil Belajar (AEX) pada tahun ini yang dilaksanakan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).

Program yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan itu membawa 36 pelajar yang juga murid Orang Asli untuk mengikuti tiga aktiviti seni di Galeri Shah Alam.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin, AEX ialah Program Pendidikan Seni Cendana yang bertujuan untuk menggabungkan seni dan pendidikan bagi melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan menghargai seni.

“Lanjutan daripada kempen Bandar Aktiviti Seni KL (BASKL), AEX adalah program lawatan seni untuk sekolah rendah awam dan memberikan mereka pengalaman positif mengenai seni.

“Program ini juga memupuk minat dan membentuk diri untuk menghargai seni sebagai aktiviti tambahan kurikulum, sekali gus melengkapkan sukatan pelajaran pendidikan seni sekolah sedia ada,” katanya.

Izan Satrina berkata, sebanyak 25 sekolah merangkumi sekolah dari sub-bandar, luar bandar, B40, Orang Asli dan pendidikan khas terpilih untuk menyertai program itu.

Di bawah AEX, pelajar akan mendapat pendedahan langsung melalui lawatan berpandu ke pameran seni visual dengan setiap sekolah terpilih diberikan peruntukan sehingga RM5,000 setahun untuk membiayai kos pengangkutan, makanan dan minuman serta insurans bagi 108 pelajar ke acara terpilih.

PERSEMBAHAN aktiviti seni pelajar yang menarik perhatian. FOTO Faiz Anuar

Sementara itu, guru pengiring, Laili Kamaruddin bersyukur kerana sekolahnya tersenarai untuk mengikuti program AEX yang memberikan pengalaman pertama kepada anak-anak Orang Asli melalui aktiviti lawatan.

Katanya, pelajar begitu teruja mengikuti ketiga-tiga aktiviti yang disediakan iaitu lawatan berpandu pameran naratif, Asas Seni dan Lukisan serta Catan atas Balang Kaca.

“Seni dalam pendidikan amat penting terutama bagi pelajar masa ini yang berdepan dengan cabaran pendidikan, dengan adanya seni mereka lebih gembira dan seronok ke sekolah.

BAKAT yang ditonjolkan pelajar menerusi aktiviti catan. FOTO Faiz Anuar

“Bagi murid Orang Asli, aktiviti seni berjaya ‘menarik’ mereka ke sekolah. Ini kerana sebahagian mereka cepat bosan dan lupa dengan pelajaran. Jadi dengan adanya aktiviti seni,

mereka dapat lepaskan tekanan dan jalani proses pembelajaran dengan gembira,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Izan Satrina berkata, Program Artis di Sekolah (AISP) juga akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memberikan kursus seni di sekolah oleh penggiat seni terpilih.

Katanya, menerusi program itu, seramai 16 orang penggiat seni dipilih untuk mengajar seni di 76 sekolah di Lembah Klang dan Sabah dengan membabitkan peruntukan RM8,000 bagi setiap sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 7:30 AM