PENUNTUT UTM bergambar kenangan di Tokyo.
PENUNTUT UTM bergambar kenangan di Tokyo.
Oleh Fazurawati Che Lah


SEPASUKAN penuntut dari Kolej Tunku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, Johor ke Tokyo, Jepun, baru-baru ini, untuk merebut peluang mengajar bahasa Melayu di negara matahari terbit itu.

Program anjuran Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) KTC yang dinamakan Jelajah Matahari Terbit (JMT) itu diadakan selama seminggu dan diadakan di sekitar kawasan bandar utama itu.

Jelajah yang objektifnya memperkenalkan budaya Malaysia turut melaksanakan pertukaran budaya antara masyarakat Malaysia dengan Jepun.

Penjelajahan bertambah menarik kerana pasukan turut mengadakan lawatan ke beberapa industri di Jepun bagi mendalami ilmu serta merasai sendiri kemajuan teknologi mereka.

Presiden JKM KTC, Muhammad Ruzairi Ramli berkata, pelbagai budaya masyarakat Jepun yang wajar dicontohi antaranya sikap rajin, budaya kerja yang sangat cemerlang, menjaga kebersihan di seluruh tempat dan ketepatan masa.

“Mereka juga sangat ramah dan menghormati pelancong yang datang ke negara mereka,” katanya.

Program jelajah itu disertai 16 peserta terdiri daripada 12 pelajar dan empat pengiring program.

Muhammad Ruzairi memberitahu sepanjang menetap di Tokyo, perjalanan mereka turut dibantu pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

Katanya, ketika lawatan di Shibaura Institute of Technology (SIT) kampus Toyosu, peserta memperkenalkan budaya Malaysia, melawat persekitaran tempat pembelajaran mereka dan melaksanakan modul yang dirancang.

PENUNTUT Jepun diajar menulis nama dalam tulisan Jawi.
PENUNTUT Jepun diajar menulis nama dalam tulisan Jawi.

“Acara bertambah menarik apabila penuntut di sana diminta memperkenalkan diri dalam bahasa Melayu, menulis nama mereka dalam tulisan Jawi dan bermain permainan tradisional seperti batu seremban dan congkak selain mencuba memakai baju Melayu dan baju kurung.

“Peserta Malaysia pula diberikan peluang untuk mencuba pakaian tradisional masyarakat Jepun iaitu yukata dan kimono disusuli dengan sesi fotografi yang penuh gelak ketawa,” katanya.

Penerokaan peserta diteruskan melalui lawatan ke beberapa industri di Jepun iaitu Kawasaki Eco Gurashi Mirai-kan dan kilang Coca-Cola.

Di Kawasaki Eco Gurashi Mirai-kan, peserta dibawa ke kilang untuk mempelajari proses melupuskan sampah di wilayah Kawasaki.

Lebih menarik dalam sesi lawatan itu ialah cara membakar sampah yang diasingkan dan seterusnya melepaskan abu pembakaran terbabit ke kawasan laut yang sudah ditanda.

Hasilnya, abu itu menjadi mendapan dalam laut yang akhirnya membentuk tanah. Bukan itu sahaja, mereka juga akan memastikan setiap sisa dan sampah dikitar semula dilakukan dengan sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 6:40 AM