Fazurawati Che Lah

MAKANAN Korea, menonton wayang, hipster cafe dan telefon bimbit menjadi ‘kegilaan’ segelintir mahasiswa milenia yang menganggap keperluan itu wajib biarpun terpaksa menghabiskan wang pengajian semata-mata mahu kelihatan bergaya serta mengikut trend.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, pengaruh media sosial memaparkan perkara indah mempengaruhi penuntut untuk menikmati atau memiliki sesuatu yang terbaharu.

Katanya, perkara itu turut disokong berdasarkan kajian Global Web Index yang merekodkan golongan milenia berusia 18 sehingga 32 tahun adalah pelayar Internet tertinggi setiap hari iaitu purata tujuh jam sehari.

“Generasi milenia atau Gen Y sukakan digital dengan melayari laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Laman ini pula memaparkan yang indah belaka, secara langsung apabila setiap hari mereka terpengaruh dengan benda ini,” katanya.

Beliau berkata, pengaruh itu menyebabkan sebilangan penuntut tidak dapat menguruskan kewangan dengan baik kerana bagi mereka tiada keutamaan yang perlu didahulukan sebaik menerima bantuan kewangan disebabkan tiada komitmen berbanding mereka yang berkeluarga.

Katanya, kebanyakan penuntut yang sering kali menghadapi masalah kewangan adalah mereka daripada kumpulan pertengahan 40 peratus (M40) dan kumpulan tertinggi 20 peratus (T20) yang sering mahukan sesuatu yang terbaharu seperti hipster cafe, makanan Korea, wayang dan gajet seperti telefon bimbit, selain fesyen K-Pop.

MEMBELI BELAH atas talian menjadi pilihan penuntut kini. FOTO Mustaffa Kamal
MEMBELI BELAH atas talian menjadi pilihan penuntut kini. FOTO Mustaffa Kamal

Katanya, mahasiswa sebenarnya sedar kewangan mereka terhad, tetapi disebabkan masih ada ibu dan ayah untuk membantu menghulurkan kewangan menyebabkan mereka selesa untuk berbelanja seperti orang berkerjaya.

“Mereka boleh menggunakan kelebihan ilmu yang diperoleh di universiti dengan menawarkan perkhidmatan yang boleh menjana kewangan mereka. Contohnya, menjadi guru tuisyen.

“Banyak pusat tuisyen berhampiran universiti, mereka juga boleh jadi cikgu tuisyen ke rumah. Setakat murid tahun enam sehingga tingkatan tiga, mereka boleh mengajar,” katanya.

Dr Mohamad Fazli menegaskan pengurusan kewangan yang betul membantu penuntut untuk menguruskan kewangan dengan baik berdasarkan konsep 50:30:20 yang merangkumi perbelanjaan pengajian, hiburan dan simpanan.

“Konsep ini sebagai panduan, di mana 50 peratus duit bantuan kewangan tak kira pinjaman atau biasiswa diperuntukkan untuk keperluan pengajian dan makan minum serta menyiapkan tugasan, yuran persatuan, buku dan sebagainya.

“Manakala 30 peratus pula untuk memenuhi kehendak penuntut seperti hiburan dan rekreasi bagi memenuhi keinginan mereka seperti menonton wayang dan makanan segera.

CAFE hipster menjadi pilihan untuk penuntut menghilangkan tekan
CAFE hipster menjadi pilihan untuk penuntut menghilangkan tekan

“Sekurang-kurangnya 20 peratus atau 10 peratus pula diperuntukkan untuk simpanan kerana mahasiswa kena ingat selepas tiga empat tahun berada di universiti mereka akan keluar untuk bekerja dan memulakan karier. Jadi mereka memerlukan simpanan ini untuk kelangsungan hidup apabila mereka mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Dr Mohamad Fazli juga tidak menafikan terdapat segelintir penuntut yang mengambil kesempatan dengan menjadikan bantuan yang disediakan di universiti seperti Foodbank untuk mereka berbelanja sakan dengan wang pendidikan yang diberi.

“Sebagai mahasiswa, apa keutamaan yang perlu diletakkan? bergaya atau memperoleh segulung ijazah kelas pertama dan mendapat pekerjaan yang baik?” katanya.

MAKANAN Korea yang dipapar di media sosial menarik minat penuntut untuk mencuba.
MAKANAN Korea yang dipapar di media sosial menarik minat penuntut untuk mencuba.

Ketagihan terhadap pembelian dalam talian menyebabkan penuntut dari sebuah universiti awam (UA) di ibu kota, Muhammad Amirul Asraf Awang Chik, 23, membelanjakan wang pengajian sehingga RM2,500 untuk membeli gajet kegemarannya.

Katanya, pembelian di hujung jari menyebabkan dia sanggup menggunakan sebahagian wang pengajian untuk memiliki barang yang diidamkan sejak mengikuti pengajian di UA itu.

“Sekarang saya cuba mengurangkan aktiviti membeli barang yang tidak perlu dan membazir. Masih membeli secara dalam talian, cuma sekarang dalam sebulan, saya membeli dalam tiga atau empat kali sahaja dan akan peruntukkan RM200,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe