BERGAMBAR kenangan bersama penghuni Pusat Jagaan Anak-anak Insan Al-Rahmat.
BERGAMBAR kenangan bersama penghuni Pusat Jagaan Anak-anak Insan Al-Rahmat.
Zaitie Satibi


SERAMAI 33 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam, Pendidikan Jarak Jauh Universiti Utara Malaysia (PJJ-UUM) Kuala Lumpur menganjurkan program pembangunan masyarakat Masih Ada Yang Sayang bersama penghuni Pusat Jagaan Anak-anak Insan Al-Rahmat, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Program ini dilaksana untuk melengkapkan keperluan kursus Pembangunan Masyarakat III bagi semester lima memberi peluang kepada mereka berinteraksi dan menyelami kehidupan kira-kira 21 anak yatim termasuk seorang kurang upaya (OKU) yang menghuni rumah berkenaan.

Pelajar yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Inspirasi, turut bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran, mengecat pagar dan menyumbang perkakas elektrik, peralatan sekolah, barangan makanan serta buku untuk keperluan penghuni.

Menambah kemeriahan, program diimarahkan lagi dengan sesi ceramah sempena tahun baharu, sukaneka untuk kanak-kanak dan sambutan hari jadi.

Pengarah Program, Remmy Karim berkata, program itu diharap mampu memberi sinar kegembiraan kepada anak yatim terbabit selain dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

MENGECAT pagar rumah kebajikan untuk menceriakan kawasan.
MENGECAT pagar rumah kebajikan untuk menceriakan kawasan.

“Aktiviti yang dilakukan ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran dan keinsafan kami terhadap anak-anak yatim yang dikategorikan sebagai golongan yang kurang bernasib baik.

“Pembabitan dalam aktiviti sebegini berjaya mengeratkan hubungan, sekali gus berkongsi keceriaan antara satu sama lain.

“Melalui program ini juga, diharap dapat memberi keceriaan kepada anak-anak yatim dan pada masa sama membantu meringankan beban pengasas rumah kebajikan ini dalam menyediakan keperluan harian dan peralatan persekolahan sesi baru tahun ini,” katanya.

Program diserikan dengan kehadiran Pengarah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) UUM, Prof Madya Dr Halim Mad Lazim yang turut merasmikan acara majlis dan menyampaikan sumbangan kepada pengasas rumah kebajikan, Sadri Salamun.

Turut hadir, penasihat program dan pensyarah kursus, Zulhairi Zakariah.

Remmy berkata, program sebegini dapat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai subjek pembangunan masyarakat dalam aspek kerjasama, protokol, pengendalian majlis, komunikasi dan perancangan serta penjadualan pelaksanaan program.

“Kami juga berbesar hati untuk menjadikan pusat kebajikan ini sebagai rumah angkat bagi membolehkan pelajar mengambil inisiatif

untuk meneruskan usaha dalam membantu anak-anak yatim sehingga tamat pengajian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 6:30 AM
Digital NSTP Subscribe