NUR Syazwani turut membuka kaunter jualan baju sejuk di kampus.
NUR Syazwani turut membuka kaunter jualan baju sejuk di kampus.
Fazurawati Che Lah


TREND fesyen baju sejuk yang menjadi pilihan remaja memberi idea kepada Nur Syazwani Muhamad Johari, penuntut dari Universiti Malaya (UM) untuk meneroka bidang fesyen.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang berusia 21 tahun ini, menjadikan produk baju sejuk dengan menampilkan rekaan tulisan ‘Universiti Malaya’ yang dicetak pada bahagian depan baju bersama pilihan warna yang menarik.

“Pengalaman berniaga sweater sebelum ini memberi idea kepada saya untuk memilih produk sama untuk dijual, tetapi dengan kualiti yang lebih baik dan reka bentuk menarik,” katanya.

Nur Syazwani adalah penuntut tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Multimedia) menjalankan perniagaan baju sejuk dikenali UM Colourful Sweatshirt sejak November lalu.

Katanya, tidak mudah untuk menubuhkan sesuatu perniagaan dan dalam masa sama perlu memberi fokus kepada akademik, selain turut memastikan produk yang dijual memberikan kualiti setanding harga.

NUR Syazwani memakai baju sejuk yang direkanya.
NUR Syazwani memakai baju sejuk yang direkanya.

Tujuan utama dia menjalankan perniagaan itu kerana mahu mempunyai wang sendiri bagi menampung keperluan dan perbelanjaan di kampus, selain tidak mahu menyusahkan ibu bapanya.

Dikenali antara penuntut yang aktif di kampus dan kolej kediaman, Nur Syazwani juga bijak menguruskan antara aktiviti luar kampus dengan akademik.

“Selain perlu menguruskan projek kolej, dalam masa sama saya turut menjalankan kerja sambilan lain dengan menjual jagung dan wafel serta mereka bentuk kain rentang, gegantung, risalah, logo dan pelekat untuk mencari duit tambahan.

“Syukur, walaupun sibuk menguruskan semua itu, saya masih mampu mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.65 setiap semester,” katanya turut menjadi Pemudahcara Mahasiswa ketika minggu orientasi mahasiswa baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 6:20 AM