X
PENUNTUT UUM dapat memanfaatkan kemudahan Musolla On Wheels yang disediakan.
PENUNTUT UUM dapat memanfaatkan kemudahan Musolla On Wheels yang disediakan.
Fazurawati Che Lah


MAHASISWA Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah tidak perlu risau menunggu giliran yang lama untuk mengerjakan solat di surau kerana Musolla On Wheels atau surau bergerak kini membantu memudahkan mereka mengerjakan ibadat itu dengan tenang.

Pengarah Pusat Penginapan Pelajar (SAC), Roslina Abdullah berkata, surau bergerak itu adalah satu daripada inisiatif untuk menyelesaikan masalah berkaitan surau yang sesak pada waktu puncak terutama Zuhur.

“Surau sedia ada tidak mampu menampung jumlah penuntut yang ramai pada satu-satu masa sehingga ada segelintir mereka terpaksa pulang ke Inapan Siswa (INASIS) untuk menunaikan solat sebelum kembali ke dewan kuliah.

“Prihatin dengan keadaan pelajar ini, SAC dengan kerjasama Syarikat Bas UNIC melancarkan surau bergerak di bawah program Unic Care yang mula beroperasi sejak Februari lalu dan bas ini di tempatkan di parkir kereta di UUM COLGIS,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya surau bergerak itu, penuntut tidak perlu lagi bergegas, tambahan pula ruang solat di dalam surau bergerak mampu memuatkan 15 hingga 17 jemaah pada satu masa dan dibuka dari jam 12.30 tengah hari hingga jam 6 petang.

SURAU Musolla On Wheels turut menyediakan kelengkapan ibadat.
SURAU Musolla On Wheels turut menyediakan kelengkapan ibadat.

Menurutnya, pada masa ini, surau bergerak itu hanya untuk kegunaan pelajar lelaki di mana bas berkenaan diubah suai dengan ciri-ciri moden dilengkapi kemudahan asas seperti ruang solat, tangki air, paip wuduk, penyaman udara, selipar dan sejadah.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Wan Muhammad Arishah Wan Anuar berkata, penyediaan surau bergerak dapat memberi kemudahan yang baharu kepada penuntut untuk menunaikan solat dengan lebih selesa dan menjimatkan masa.

“Saya dan rakan-rakan selalu menggunakan surau ini kerana kedudukan yang lebih dekat dengan dewan kuliah, selain mahu mengurangkan kesesakan di surau Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 5 kerana pelajar akan berebut-rebut untuk menunaikan solat sebelum bergegas ke kelas.

“Dengan adanya surau ini, saya dapat menjimat masa dan tenaga tanpa perlu pulang ke INASIS kerana surau bergerak ini hanya terletak di antara DKG 6 dan DKG 5,” katanya.

Bagi pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Wan Ahmad Shazwan Wan Rozak, surau bergerak itu satu kemudahan terbaik kepada pelajar yang berdepan kekangan tempat solat terutama ketika menghadiri kelas.

PENUNTUT mengambil wuduk di Musolla On Wheels.
PENUNTUT mengambil wuduk di Musolla On Wheels.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan sangat baik dan ruang solat dilengkapi penyaman udara yang selesa, sekali gus menarik penuntut untuk menunaikan solat di sini.

Katanya, solat adalah tiang agama yang menjadi kewajipan setiap umat Islam sebagai hamba Allah dan solat boleh dilaksanakan di mana sahaja tidak mengira tempat.

“Saya berharap mahasiswa UUM dapat memanfaatkan kemudahan

Musolla On Wheels yang disediakan ini dan kesibukan menghadiri kuliah tidak lagi menghalang penuntut untuk menjaga solat supaya berjaya dunia dan akhirat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 6:25 AM