X
MUZAFFAR (kiri) bersama rakan setugas menyiapkan singki.
MUZAFFAR (kiri) bersama rakan setugas menyiapkan singki.
Muhamaad Razis Ismail

SESI persekolahan kembali dibuka kecuali tahun 1 hingga 4 yang dijangka 22 Julai ini.

Semuanya berlangsung dalam normal baharu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Kementerian Pendidikan Malaysia turut mengeluarkan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi sepanjang sesi persekolahan berjalan.

Antaranya adalah pengusaha kantin hanya menyediakan makanan berbungkus dan penggunaan kerusi, meja dan ruang makan di kantin tidak dibenarkan.

Selain itu, murid hanya makan dalam bilik proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bawah seliaan guru pada waktu rehat.

Menyedari perkara itu, guru mata pelajaran reka bentuk dan teknologi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gemilang, Teluk Air Tawar, Pulau Pinang, Muzaffar Masor mengambil inisiatif menghasilkan singki buatan sendiri untuk kegunaan murid.

SINGKI menggunakan paip PVC yang berjaya dihasilkan.
SINGKI menggunakan paip PVC yang berjaya dihasilkan.

Uniknya, singki itu dihasilkan menggunakan batang paip Polyvinyl Chloride (PVC), penyambung paip dan besen yang lebih ringan, mudah diubah dan menjimatkan.

Kos penghasilannya hanya RM45 berbanding singki besi yang mencecah lebih RM100.

Muzaffar berkata, idea untuk menghasilkan singki terbabit dihasilkan selepas mendapat arahan guru besar sekolah.

Katanya, dia kemudian memikirkan kaedah terbaik untuk menghasilkan singki bagi kemudahan murid membasuh tangan tanpa perlu ke tandas.

"Pada mulanya, saya bercadang untuk hasilkan singki daripada besi namun ia membabitkan kos agak tinggi.

"Saya kemudian membuat carian di Internet dan mendapat idea untuk menghasilkan singki daripada batang paip PVC dan besen plastik yang lebih mudah, cepat dan menjimatkan.

"Proses penghasilan dimulakan dengan anggaran bajet, lakaran sebelum barang keperluan dibeli di kedai perkakasan berhampiran.

KEMUDAHAN ini digunakan murid sebaik memulakan sesi persekolahan.
KEMUDAHAN ini digunakan murid sebaik memulakan sesi persekolahan.

"Alhamdulillah dalam tempoh dua jam dengan dibantu beberapa rakan guru singki setinggi 0.8 meter dapat disiapkan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihaknya merancang untuk menghasilkan 10 singki sama sebelum sekolah kembali beroperasi dalam masa terdekat.

"Kemudahan itu akan diletakkan di koridor setiap tingkat bangunan sekolah untuk kegunaan murid ketika waktu rehat," katanya.

Tambahnya, dia tidak menyangka perkongsiannya di Facebook mendapat maklum balas positif daripada orang ramai dan guru lain.

"Ada dalam kalangan guru dari sekolah berhampiran meminta saya kongsikan ukuran dan cara untuk hasilkan singki ini untuk ditempatkan di sekolah mereka.

"Saya berharap kemudahan ini dapat membantu sekolah memastikan garis panduan yang ditetapkan dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 6:45 AM