MEMPERSIAPKAN graduan dengan pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan.
MEMPERSIAPKAN graduan dengan pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan.
Suliati Asri

[email protected],my

TIGA program pengajian Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat akreditasi profesional daripada Committee Heads of Environmental Sciences, Jawatankuasa Pendidikan Institution of Environmental Sciences (CHES-IES), United Kingdom.

Dekan FPAS, Profesor Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata, tiga program itu ialah Kepujian Sarjana Muda Pengurusan Alam Sekitar, Sarjana Muda Sains dan Teknologi Alam serta Program Eksekutif Sarjana Alam Sekitar.

"Menerusi pengiktirafan ini, UPM menjadi universiti pertama di Asia Tenggara dan keempat di luar United Kingdom mendapat akreditasi antarabangsa ini.

"Ketiga-tiga program terbabit adalah program rintis dalam bidang pengajian alam sekitar selain program sarjana muda yang pertama kali ditawarkan pada 1976 untuk melonjakkan pendidikan serta penyelidikan alam sekitar selepas Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam persekitaran manusia di Stockholm, Sweden pada 1972," katanya.

Sementara itu, Institution of Environmental Sciences (IES) diasaskan pada 1971. Ia adalah organisasi amal yang mempromosikan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sains alam sekitar dengan menyokong saintis serta ahli akademik profesional.

Committee of Heads of Environmental Sciences (CHES) pula ditubuhkan pada 1991 dan bergabung dengan IES pada 2012.

Ia adalah organisasi jaringan aktif yang mewakili sains alam sekitar dan bidang berkenaan di peringkat pengajian tinggi dan lanjutan.

Manakala CHES pula bertindak sebagai jawatankuasa pendidikan IES, menilai dan memberi pengiktirafan akreditasi kepada program sarjana muda sejajar dengan Quality Assurance Agency for Higher Education (QAA) Benchmark Statement for Earth Sciences, Environmental Sciences and Environmental Studies (ES3) di United Kingdom, termasuk memberi pengiktirafan akreditasi kepada program sarjana yang sejajar tanda aras ES3.

Akreditasi ini sinonim dengan pencapaian piawaian dan kecemerlangan tertinggi dalam program akademik sains alam sekitar.

UPM menjadi universiti pertama di Asia Tenggara dan keempat di luar United Kingdom mendapat akreditasi antarabangsa ini.
UPM menjadi universiti pertama di Asia Tenggara dan keempat di luar United Kingdom mendapat akreditasi antarabangsa ini.

Lebih menarik, hanya 45 universiti di seluruh dunia menerima pengiktirafan ini untuk program pengajian ijazah mereka.

Dr Mad Nasir berkata, pelajar dalam program berakreditasi CHES mempunyai capaian kepada laluan kemajuan profesional yang berkualiti tinggi untuk kerjaya mereka.

"Mereka boleh mendapatkan Keahlian Pelajar IES secara percuma dan kelayakan untuk laluan pantas keahlian apabila menamatkan pengajian selain boleh berusaha untuk menjadi ahli profesional serta saintis diiktiraf alam sekitar (Chartered Environmentalist and Chartered Scientist).

"Pencapaian akreditasi IES ini juga adalah bukti komitmen dan dedikasi ahli Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar dalam menawarkan program akademik berkualiti tinggi.

"Ia juga mempersiapkan graduan dengan pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan masa depan sejajar misi universiti untuk menjadi universiti mempunyai reputasi antarabangsa," katanya.

Program yang mendapat pengiktirafan akreditasi CHES-IES ini adalah tiga program Sarjana Muda dan program Sarjana dengan kerja kursus di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar.

Program lain adalah Sarjana Muda Sains Hutan, Sarjana Muda Sains dan Teknologi Kayu, Sarjana Muda Sains Taman dan Rekreasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 6:30 AM