PnP

Projek bandar kayangan

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

GENTING Highlands bakal menjadi bandar metropolis moden apabila projek Genting Xintiandi dilaksanakan di kawasan itu bermula tahun ini.

Genting Xintiandi adalah projek pembangunan perbandaran moden membabitkan lapan fasa yang dibina di tapak seluas 24.3 hektar.

Ia pembangunan bercampur berkonsepkan 'Live x Work x Play' dengan pembinaan bangunan bertingkat setinggi 37 hingga 60 tingkat yang menawarkan panorama berlatarkan bandar kayangan.

Pengerusi Genting Xintiandi Sdn Bhd, Lee Thiam Kit berkata, projek Genting Xintiandi yang menampilkan reka bentuk moden bakal menjadi mercu tanda terkenal, sekaligus meningkatkan imej dan identiti kawasan berkenaan.

Menurutnya, projek itu membabitkan pembangunan sebuah pusat komersil bercampur merangkumi pembinaan pangsapuri perkhidmatan, ruang perniagaan, hotel dan terminal bas.

"Hari ini kita menyaksikan pelancaran fasa satu membabitkan pembangunan empat blok pangsapuri perkhidmatan merangkumi 2,600 unit.

"Untuk pelaksanaan idea ini, kami menjemput pemaju hartanah terkemuka Malaysia, Aset Kayamas bagi menjalin satu kerjasama yang strategik.

"Perbincangan dan perancangan teliti dilakukan selama dua tahun untuk merealisasikan projek ini yang akan menambah nilai bukan sahaja kawasan Gohtong Jaya, tetapi seluruh Genting Highlands," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Jualan Genting Xintiandi di Genting Highland, Pahang, baru-baru ini.

Perasmian galeri disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia Berhad Tan Sri Lim Kok Thay serta Pengerusi Aset Kayamas, Tan Sri Chai Kin Kong.

Lee berkata, pembukaan galeri jualan membolehkan Genting Xintiandi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan mempamerkan keseluruhan pembangunan projek itu.

"Pembangunan dibahagikan kepada lapan fasa dengan fasa satu kini dibuka untuk tontonan awam di Galeri Jualan Genting Xintiandi.

"Jenis unit pada fasa satu terdiri jenis A dengan keluasan binaan 454 kaki persegi yang mempunyai satu bilik tidur dan satu bilik mandi.

"Jenis B dengan saiz binaan 687 kaki persegi (dua bilik tidur dan dua bilik air). Manakala jenis C dengan saiz binaan 973 kaki persegi (tiga bilik tidur dan tiga bilik mandi)," katanya.

Beliau berkata, menariknya pangsapuri perkhidmatan ini ialah dilengkapi perabot dan pembeli tidak perlu membuat sebarang pengubahsuaian.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Aset Kayamas Michael Cha berkata, kos keseluruhan projek pembangunan ini dianggarkan berjumlah RM20 bilion yang dijangka mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan.

"Namun saya berharap projek ini dapat disiapkan lebih awal daripada jangkaan dan berusaha melakukan pembangunan terbaik.

"Kos untuk pembangunan fasa satu pula dianggarkan RM1.7 bilion. Projek ini berstatus pegangan bebas dan semua orang boleh membeli kediaman di sini.

"Selain membina perbandaran moden, kami juga berharap dapat mewujudkan perbandaran yang seimbang di antara kehidupan dan kerja," katanya.

Michael berkata, pada masa depan Genting Highlands bukan hanya tempat untuk hiburan dan rekreasi semata-mata tetapi mempunyai persekitaran bagus untuk dihuni, menjaga keluarga, bekerja dan menikmati kehidupan lebih baik yang tidak diperoleh dari tempat lain.

"Elemen kehijauan hutan masih dikekalkan yang memberikan persekitaran indah dan nyaman serta menarik orang ramai untuk mengunjungi Genting Highlands," katanya.

Untuk rekod, Genting Xintiandi terletak di laluan akses utama ke Resorts World Genting, sebuah resort bersepadu terkemuka di dunia.

Dengan lokasi yang strategik ini, projek Genting Xintiandi akan menjadi salah satu pilihan hartanah popular dengan kemudahan sedia ada dan lengkap.

Ditambah pula dengan pelbagai pilihan hiburan dan tarikan seperti Taman Tema Luar Genting SkyWorlds, Resorts World Awana dan Genting Highlands Premium Outlets, dijangka projek itu akan mendapat sambutan menggalakkan termasuk pelabur antarabangsa.

Manakala Wan Rosdy berkata, hampir 25 juta pelancong datang dan bermalam di Genting Highlands setiap tahun.

Katanya, diharapkan melalui projek ini akan menarik lebih ramai pelancong datang ke Pahang, khususnya Genting Highlands dan meningkatkan pendapatan negeri itu.

"Tahun 2021, nilai pelaburan asing ke Pahang meningkat kepada RM12.69 bilion dan terus meningkat kepada RM20.56 bilion (2022).

"Peningkatan pendapatan ini menunjukkan Pahang diminati dan menjadi destinasi pilihan ramai pelancong," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2023 @ 7:00am
d