WM

Sokongan jkm untuk anak oku

Oleh Hafiz Ithnin

JABATAN Kebajikan Masyarakat melihat kesedaran ibu bapa untuk mendaftarkan anak berstatus orang kurang upaya (OKU) dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat.

Pada 2019, kanak-kanak OKU berusia setahun didaftarkan kepada JKM seramai 718 berbanding 2018, 708 orang. Bagaimanapun, berlaku penyusutan pada 2020 iaitu 602 orang.

Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) JKM berkata, mereka yang mempunyai anak ataupun ahli keluarga OKU amat digalakkan untuk melakukan pendaftaran itu dengan JKM.

Jelasnya, melalui pendaftaran OKU akan membolehkan anak istimewa yang berdaftar untuk mendapat perkhidmatan bersesuaian dengan keperluan berdasarkan tahap kefungsian dan ketidakupayaan.

"Selain itu, dapat menerima pelbagai bantuan yang disediakan pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan kebajikan," katanya kepada Wanita Metro (WM) menerusi e-mel.

Jelasnya, JKM turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan bantuan psikologi bagi membantu ibu bapa yang mempunyai anak OKU.

Katanya, ibu bapa yang memerlukan bantuan sokongan psikologi, pihak JKM akan merujuk mereka kepada bahagian yang bertanggungjawab dalam mengendalikan kaunseling dan bantuan psikologi.

"Selain itu, JKM turut menjalinkan kerjasama dengan NGO dalam mengendalikan OKU. NGO yang menerima bantuan kewangan JKM juga akan turut membantu keluarga yang mempunyai anak OKU.

"Antaranya, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Program Parent Support Group di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan program sokongan kepada ibu bapa yang menghantar anak ke taska OKU," katanya.

Tambahnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga menyediakan program kaunseling dan psikologi untuk membantu ibu bapa dalam mengendalikan anak OKU.

"Ibu bapa juga turut diberi panduan untuk tindakan dan peranan yang perlu dilakukan dalam mengendalikan anak OKU," katanya.

Jelasnya, JKM juga mempunyai Pusat Kehidupan Berdikari (ILC) untuk memberi sokongan kepada ibu bapa.

"Di ILC, kita menyediakan perkhidmatan pembantu peribadi (PA) bagi membantu OKU terutamanya OKU Severe untuk mereka mendapatkan perkhidmatan dari ILC.

"Bagaimanapun, untuk memastikan OKU ini dapat berdikari atau dapat dibantu dengan bantuan yang minimum, sistem sokongan kepada keluarga juga turut diberi perhatian," katanya.

Tambahnya, keluarga akan dibantu untuk terbabit sama ketika ILC menjalankan Program Independent Living supaya selepas OKU menerima perkhidmatan di ILC, keluarga juga turut memahami keperluan daripada OKU yang menerima perkhidmatan di ILC.

"Contohnya, ILC@PLPP membantu Ibu yang mempunyai dua orang anak OKU untuk berinteraksi di dalam masyarakat dan boleh bekerja di luar.

"ILC berperanan membantu ibu berkenaan untuk menghilangkan persepsi negatif dan menerima tanggapan yang positif bahawa anak mereka boleh dibantu serta berubah dengan bantuan dan sokongan dari pembantu peribadi," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 6:35am
d