WM

Semangat kekal cergas

Oleh Lizza Imelia M Sulanah

Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 pada 9 Oktober lalu disambut meriah di seluruh negara.

Meskipun masih dalam pandemik Covid-19 dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), namun ia tidak menghalang masyarakat untuk terus kekal cergas dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi seperti senamrobik serta berbasikal diadakan sama ada secara maya, hibrid mahupun acara langsung.

Di Larut Matang dan Selama, Perak misalnya, aktiviti senamrobik turut diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, bagi memeriahkan lagi sambutan HSN kali ini.

Aktiviti itu disertai 60 peserta yang terdiri daripada pegawai kanan, anggota serta pegawai awam IPD terbabit.

Ia diadakan sebagai senaman pemanas badan sebelum peserta menyertai program berakit meredah jeram.

Pegawai Belia dan Sukan Daerah Selama, Suriati Mat Daud berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara jabatan kerajaan yang tidak pernah gagal untuk menyertai HSN setiap tahun.

Kata Suriati, kali ini IPD Selama turut mengadakan aktiviti senamrobik dan berakit meredah jeram menerusi acara MyFit@Home.

"Hari Sukan Negara antara platform terbaik untuk memupuk dan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa.

"Objektif utama adalah menggalakkan keluarga Malaysia untuk melaksanakan aktiviti sukan seperti kecergasan dan rekreasi ke arah menjadikan Malaysia negara bersukan.

"Ia secara tidak langsung memberi kesedaran kepada orang ramai kepentingan amalan gaya hidup cergas dan aktif walaupun di kala negara dilanda pandemik Covid-19 dengan menjadikan aktiviti sukan serta kecergasan sebagai sebagai rutin harian demi meningkatkan tahap kesihatan rakyat," katanya pada acara berkenaan.

Menurut Suriati, kehadiran Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Mohd Sabri Saad dalam pelbagai aktiviti sedikit sebanyak menambahkan lagi kemeriahan pengisian sambutan HSN 2021 yang dirancang.

Sementara itu, program JOM Senamsihat 2021 turut diadakan di Dataran Bukit Gantang bagi memeriahkan lagi sambutan HSN 2021.

Selain aktiviti senamrobik yang membabitkan 50 warga Bukit Gantang, turut diadakan pertandingan futsal yang disertai 15 peserta.

Program itu anjuran bersama Pusat Khidmat Adun Changkat Jering, JPKK Mukim Bukit Gantang, Ahli Perwakilan Dewan Perak, N14 Changkat Jering dan Kelab SRCC Bukit Gantang.

Wakil penganjur, Fazlina Gharaud-din berkata, selain memeriahkan sambutan HSN 2021, program itu turut bertujuan merapatkan silaturahim antara belia di Bukit Gantang.

"Kami sentiasa mematuhi SOP sepanjang pelaksanaan program ini.

"Terima kasih kepada Penghulu Bukit Gantang atas kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan program ini," katanya.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ahmad Saidi Mohamad Daud yang turut serta dalam acara senamrobik dan futsal.

Hadir sama, Adun Trong Jamilah Zakaria, Penghulu Mukim Bukit Gantang Mustafa Kamal dan Penghulu Mukim Matang Nasaruddin Mawi.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 8:22am
d